BeritaProgram

Kerajaan Negeri Sembilan komited tingkat bekalan makanan

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan sentiasa memberikan kerjasama dengan semua pihak termasuk menyediakan tanah untuk dimajukan sebagai kawasan pertanian demi meningkatkan bukan sahaja taraf hidup rakyat, tetapi juga bekalan sumber makanan.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah demikian ketika merasmikan Istiadat Persidangan Pertama Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 pada Isnin.

“Inisiatif baharu dan aktiviti tambah nilai menerusi penggunaan automasi dan teknologi untuk memajukan sektor perladangan, komoditi, pekebun kecil, pertanian dan industri makanan perlu dipercepatkan pelaksanaannya.

“Sektor-sektor ini sangat berpotensi untuk penciptaan sumber kekayaan baharu di samping berupaya menjamin sekuriti dan nutrisi makanan negeri dan negara.

“Dalam hal ini, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) perlu memainkan peranan untuk membantu petani, penternak dan peladang daripada segi penambahbaikan infrastruktur,” titah Baginda.

Baginda bertitah, MAFI juga perlu mengawal harga input pertanian dan penternakan serta mempergiat penggunaan jentera moden untuk meningkatkan hasil pengeluaran.

“Beban negara yang menanggung kos mengimport makanan sehingga RM63.6 bilion pada tahun lalu perlu diteliti dari semua aspek dan tidak seharusnya menyalahkan dasar Kerajaan Negeri semata-mata,” titah Baginda.

Show More

Related Articles

Back to top button