SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan tidak pernah meminggirkan kawasan-kawasan yang dimenangi oleh pembangkang dalam agihan peruntukan selaras dengan prinsip ihsan kerajaan Madani.
Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun (PH-Sikamat) berkata, penyaluran peruntukan yang diberikan adalah di dalam bentuk projek-projek pembangunan dan kesejahteraan rakyat.
“Pada tahun lalu, sebanyak RM34.49 juta yang merangkumi 119 projek diluluskan di lima buah DUN pembangkang dan sehingga April lalu sebanyak RM16.46 juta merangkumi 91 projek diluluskan.
“Selain itu, kelima-lima DUN pembangkang ini juga turut menerima peruntukan pembangunan pada tahun lalu sebanyak RM5.15 juta dan RM5.4 juta pada tahun ini,” ujar Aminuddin.
Aminuddin berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labu, YB Hanifah Abu Baker (PN) pada Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Ke-15.