BeritaMenarik

Liputan talian selular di Jalan Bukit Putus ditambahbaik

SEREMBAN: Liputan talian selular di Jalan Bukit Putus (Jalan Seremban – Kuala Pilah) akan ditambah baik pada tahun ini.

Exco Warisan, Adat Istiadat Melayu, Teknologi, Inovasi dan Digital Negeri Sembilan, YB Dato’ Mohd Faizal Ramli (BN-Linggi) berkata, Jalan Bukit Putus merupakan lokasi yang sering menerima aduan gangguan rangkaian dan panggilan terputus terutamanya ketika waktu puncak seperti perayaan Hari Raya Aidilfitri dan cuti persekolahan.

“Pada 5 April 2024, pihak industri telekomunikasi telah menyediakan solusi sementara melalui pemasangan, dengan izin Mobile Coverage Vehicle atau MCV di Bukit Putus sehingga solusi kekal yang disasarkan siap pada tahun 2024.

“Usaha ni merupakan kolaborasi dan komitmen Kerajaan Negeri, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan industri dalam memastikan aduan yang diterima dapat disantuni sebaiknya,” ujar beliau.

Dalam pada itu, setakat 29 Februari 2024, bagi pelaksanaan JENDELA di DUN Seri Menanti, sebanyak satu daripada tiga menara telekomunikasi baharu yang dirancangkan telah berjaya disiapkan dan sebanyak 20 buah stesen pemancar sedia ada telah siap dinaik taraf bagi perluasan liputan komunikasi di kawasan tersebut.

“Bagi pelaksanaan perkhidmatan gentian optik, sebanyak 433 daripada 1,567 premis telah dilengkapi dengan kesalinghubungan perkhidmatan gentian optik berkeupayaan gigabit.

Kesemua inisiatif yang dinyatakan dijangka siap dan akan beroperasi secara berperingkat pada penghujung tahun 2025,” katanya.

Mohd Faizal berkata demikian bagi menjawab pertanyaan YB Muhammad Sufian Maradzi (BN-Seri Menanti) pada Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Ke-15.

Show More

Related Articles

Back to top button