Berita

Kerajaan perkenal Tabung Pusingan Modal, bantu koperasi berdaya saing

SEREMBAN: Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, Veerapan Superamaniam telah merasmikan Program Peningkatan Imej Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Sembilan di Glass Castle Hall, Senawang.

Program ini bertujuan mengukuhkan hubungan antara warga kerja SKM, gerakan koperasi, pegawai perhubungan awam jabatan kerajaan, serta rakan media rasmi Negeri Sembilan, dengan matlamat menyokong usaha kerajaan negeri dalam memperkasa sektor koperasi sebagai pemacu ekonomi rakyat.

Koperasi merupakan salah satu entiti sosioekonomi utama yang telah berjaya meningkatkan kesejahteraan anggotanya melalui pelbagai aktiviti ekonomi dan keusahawanan.

Veerapan berkata, di Negeri Sembilan, sebanyak 787 koperasi berdaftar dengan jumlah keanggotaan seramai 192,711 orang.

“Sehingga kini, koperasi di negeri ini memiliki syer dan yuran sebanyak RM123.69 juta, dengan nilai aset mencecah RM187 juta.

“Lebih 70 peratus koperasi di Negeri Sembilan menjalankan aktiviti dalam sektor pengguna, perkhidmatan, dan pertanian, termasuk koperasi sekolah yang memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi komuniti setempat.

“Dalam usaha memperkasakan gerakan koperasi, SKM melalui Tabung Modal Pusingan (TMP-SKM) telah meluluskan pembiayaan sebanyak RM1 juta kepada Koperasi Guru-Guru Tamil Negeri Sembilan dan RM97,000 kepada Koperasi Saroha Negeri Sembilan Berhad bagi fasa pertama tahun 2025,” ujar beliau.

Menurut Veerapan, pembiayaan ini bertujuan membantu koperasi dalam memperkukuh daya saing, memperluaskan peluang keusahawanan, serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

“Sejajar dengan hasrat kerajaan dalam memperkasa koperasi sebagai antara bidang keberhasilan utama ekonomi Malaysia, beberapa inisiatif telah diperkenalkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui SKM, termasuk TRANSKOM 2025, Pelan Pendigitalan Koperasi, serta dasar terbaru Dasar Koperasi Malaysia 2030 (DAKOM 2030).

“Dengan pelaksanaan dasar ini, koperasi di Negeri Sembilan dan Malaysia secara keseluruhannya berupaya menjana pendapatan tinggi kepada rakyat serta memberikan impak ekonomi yang mampan kepada negara

“Dengan adanya kerjasama erat antara koperasi, pihak kerajaan dan rakan media rasmi, diharapkan gerakan koperasi akan terus berkembang maju serta memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesejahteraan ekonomi rakyat Negeri Sembilan dan Malaysia secara keseluruhan,” jelas Veerapan.

Program ini turut dihadiri oleh Pengarah SKM Negeri Sembilan, Radiatul Fitri Dollah dan Timbalan Pengarah SKM Negeri Sembilan, Siti Nurulaen Dzolkeefly.

Show More

Related Articles

Back to top button