Kerajaan sedia kemudahan Gentian Optik kepada 5,000 kediaman bertingkat di Nilai dan Seremban 2

NILAI: Projek Gentian Optik (Fibre To The Premise) memberi manfaat kepada 5,000 rumah melalui ketersediaan capaian internet di kawasan strata atau bangunan kediaman bertingkat di Nilai dan Seremban 2.
Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan, J.Arul Kumar berkata, Pelan JENDELA merupakan pelan kesalinghubungan nasional yang bertujuan untuk meningkatkan liputan serta kualiti pengalaman internet kepada seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira lokasi sama ada di kawasan bandar, luar bandar mahupun pedalaman.
“Selain pembinaan menara baharu dan penaiktarafan rangkaian sedia ada, JENDELA turut memberi tumpuan kepada peluasan infrastruktur gentian optik ke premis atau Fiber-to-the-Premis (FTTP) termasuk di kawasan bangunan kediaman bertingkat yang memerlukan perkhidmatan internet yang lebih menyeluruh.
“Menerusi pelaksanaan JENDELA, MCMC dengan kerjasama pemberi perkhidmatan iaitu TIME dotCom Berhad (TIME) telah merancang peluasan liputan gentian optik ke premis di 12 lokasi sekitar daerah Seremban,” kata beliau.
Menurut Arul Kumar, 12 kawasan tersebut adalah Flat Taman Semarak Fasa 2 Nilai, Apartment Cempakapuri 4, Apartment Cempaka Puri 1 dan 2, Flat Taman Semarak Fasa 1 Nilai, Pangsapuri Cempaka Court, Nilai Santalia Apartment, Ixora Apartment, Pangsapuri Safira, Dahlia 1 Apartment Garden Avenue, Cempaka 1 Apartment Garden Avenue, Dahlia 2 Apartment, Garden Avenue dan Cempaka 2 Apartment Garden Avenue.
Setakat ini, sebanyak enam daripada 12 tapak telah siap sepenuhnya, manakala baki enam tapak lagi dijangka siap secara berperingkat sebelum akhir tahun 2025.
“Pelaksanaan projek ini bakal memberi manfaat kepada lebih 5,000 premis melalui peningkatan ketersediaan capaian internet berkelajuan tinggi di kawasan berkenaan.
“Isu kekurangan “port” juga dapat diatasi memandangkan penyediaan infrastruktur gentian optik dilaksanakan secara menyeluruh di kawasan berkenaan.
“Setakat 30 September 2025, menerusi inisiatif JENDELA, sebanyak 238,632 premis di Negeri Sembilan telah disediakan dengan sambungan gentian optik sejak pelaksanaannya pada tahun 2020,” jelas Arul Kumar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai.
Turut hadir Exco Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital, Dato’ Mohd Faizal Ramli.




