Kerjasama Persekutuan-Negeri terus diperkukuh melalui Mesyuarat MB dan KM Ke-149

KUALA LUMPUR: Hubungan erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri terus diperkukuhkan menerusi Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri Ke-149 yang berlangsung di Bangunan Parlimen Malaysia.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, mesyuarat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim itu menghimpunkan Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri dari seluruh negara bagi membincangkan pelbagai isu berkepentingan bersama.
Menurut beliau, perbincangan tertumpu kepada aspek pembangunan negeri, kesejahteraan rakyat serta hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
“Platform seperti ini amat penting dalam memperkukuhkan kerjasama antara kerajaan di semua peringkat, di samping menjadi ruang untuk bertukar pandangan, menyelaras dasar serta mencari penyelesaian terbaik terhadap pelbagai cabaran semasa yang dihadapi rakyat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook selepas menghadiri mesyuarat tersebut.
Aminuddin berkata, hubungan yang erat dan kerjasama yang baik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri akan terus menjadi pemangkin kepada pembangunan yang lebih mampan, inklusif dan menyeluruh demi manfaat rakyat serta kemajuan negara.
“Saya percaya hubungan yang erat serta kerjasama yang baik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri akan terus menjadi pemangkin kepada pembangunan yang lebih mampan, inklusif dan menyeluruh demi manfaat rakyat serta kemajuan negara,” katanya.
Beliau turut berharap segala perkara yang dibincangkan dan diputuskan dalam mesyuarat itu dapat diterjemahkan melalui pelaksanaan yang berkesan demi kesejahteraan rakyat serta kemakmuran negeri-negeri di Malaysia.
“Semoga segala perkara yang dibincangkan dan diputuskan dalam mesyuarat ini dapat diterjemahkan melalui pelaksanaan yang berkesan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri-negeri di Malaysia,” ujar Aminuddin.




