BeritaMenarik

Ketua jabatan diingatkan tegas bendung rasuah

TAMPIN: Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun mengingatkan semua ketua-ketua jabatan di peringkat daerah tegas membendung gejala rasuah.

“Kita tidak boleh menerima sebarang sogokan kerana dia sahabat kita atau saudara-mara kita.

“Ketika menerima habuan memang seronok, tetapi apabila berlaku tangkapan, menyesal tidak berguna. Ingatlah kepada anak-anak dan isteri kita di rumah.

“Nasi yang disuapkan ke mulut-mulut mereka itu perlulah yang bersih.

“Jika ia dari hasil rasuah, jelas kita memasukan benda yang haram ke dalam mulut insan-insan yang kita sayangi,” katanya di Majlis Perhimpunan Peringkat Daerah Tampin bagi tahun 2024 di Dewan Perdana Tampin.

Aminuddin berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah diberi kuasa penuh untuk masuk ke semua jabatan-jabatan kerajaan.

“Ini membuktikan kerajaan hari ini serius membenteras rasuah.

“Saya ingin bertanya kepada anda semua, ketika SPRM datang ke pejabat kita dan tangkapan dibuat, apakah perasaan dan fikiran kita ketika itu? Lebih-lebih lagi yang ditangkap.

“Jika ketika itu baru kita hendak menyesal, ianya sudah tidak berguna lagi.

“Oleh yang demikian, saya begitu serius berkaitan soal integriti,” ujar beliau lagi.

Aminuddin menambah, ssaha Perdana Menteri menekankan tatakelola yang baik, memberi kebebasan penuh kepada SPRM untuk melaksanakan tugas tanpa mengira siapa adalah dua faktor utama yang akan menaikkan ranking Malaysia dalam persepsi rasuah.

“Selama ini kita hanya dengar pegawai bawahan yang terlibat rasuah dan penyelewengan. Tetapi suasana hari ini telah berbeza.

“Orang kenamaan juga telah mula disiasat dan didakwa.

“Tiada siapa yang boleh mendabik dada mereka kebal dari tindakan undang-undang, lebih-lebih kesalahan yang melibatkan rasuah dan salah guna kuasa,” kata Aminuddin.

Show More

Related Articles

Back to top button