Kita mahu teknologi sampai ke ladang, bendang dan kolam: MOHAMAD SABU

KUALA LUMPUR: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Dato’ Seri Mohamad Sabu berkata, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) terus memperkukuh agenda Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi (R&D & C&I) melalui Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Institut Penyelidikan Veterinar (VRI) dan Institut Penyelidikan Perikanan (IPP).
“Di bawah RMKe-12, sebanyak RM245.79 juta diluluskan untuk 31 program penyelidikan. Masuk RMKe-13 pula, lebih RM200 juta kita peruntukkan lagi.
“Maknanya, kerajaan serius nak angkat sektor agromakanan ke tahap lebih moden dan berdaya saing.
“Hasilnya, kita dah bangunkan varieti padi dan bawang merah tempatan, termasuk sistem akuakultur moden seperti Recirculating Aquaculture System (RAS).
“Hari ini, seramai 684 penyelidik sedang berkhidmat dengan kadar pengisian 93 peritus,” jelas beliau.
Mohamad berkata, dalam masa sama, pelan pembangunan bakat jalan berperingkat supaya kepakaran tidak putus dan ilmu terus diwariskan.
“Penyelidikan ini bukan sekadar laporan atas meja. Kita mahu teknologi betul-betul sampai ke ladang, ke bendang dan ke kolam.
“Bila petani, penternak dan nelayan rasa manfaatnya, barulah kita boleh kata usaha ini benar-benar berjaya demi keterjaminan makanan negara,” ujar Mohamad semasa Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.



