Koperasi perlu bersaing di peringkat antarabangsa
SEREMBAN: Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, Veerapan Superamaniam bersama delegasi Suruhanjaya Koperasi Malaysia Cawangan Negeri Sembilan yang diketuai Pengarahnya Shahrizan Rosli dan Gerakan Koperasi Negeri Sembilan telah mengadakan lawatan tiga hari ke Negeri Kelantan.
Lawatan ini yang bertujuan untuk mendapatkan input dan pendedahan berkaitan daripada koperasi-koperasi di Negeri Kelantan.
“Pembangunan koperasi adalah amat penting bagi pertumbuhan ekonomi di samping meningkatkan pendapatan ahli-ahli koperasi.
“Koperasi-koperasi di negara ini perlu bersaing di peringkat antarabangsa dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara,” kata Veerapan.
Veerapan berkata, mereka telah mengadakan lawatan ke lokasi perniagaan tekstil yang diusahakan Koperasi Amar Amran Berhad (KAAB).
“KAAB mempunyai 200 orang pekerja dan menghasilkan produk pakaian seperti busana Melayu, kurta, baju Melayu tradisional, skaf, tudung, telekung, baju uniform, jersi dan baju sublimation.
“KAAB juga menyampaikan taklimat dan sesi perkongsian berkenaan perkembangan, idea dan perancangan masa hadapan koperasi kepada delegasi yang hadir khususnya gerakan koperasi Negeri Sembilan,” ujarnya.
Lawatan diteruskan dengan perniagaan COOPUSMA iaitu Pusat Dialisis Lestari yang dijangka beroperasi dengan 18 buah mesin dialisis.
“COOPUSMA berkongsi kejayaan meliputi perniagaan lain yang diusahakan iaitu Coopmart Lestari, Klinik Lestari, Kopitiam Lestari dan kemudahan pembiayaan kredit.
“Pihak COOPUSMA juga berkongsi idea serta perancangan masa depan dalam mengembangkan perniagaan koperasi.
“Kami juga sempat melawat perkhidmatan pelancongan yang diusahakan oleh koperasi dalam memajukan dan mempromosikan gugusan kepulauan Tumpat yang terdiri daripada Pulau Suri, Seri Tanjung, Teluk Ranjuna dan Pulau Tokang.
“Sebagai makluman, koperasi ini merupakan operator di Pulau Suri bagi melaksanakan aktiviti ekonomi iaitu pasar terapung@floating market dan pelbagai jualan barangan yang berasaskan tradisional dijual oleh penduduk kampung gugusan kepulauan Tumpat,” jelas Veerapan.