KPKT Salur RM430.26 Juta Laksana 80 Projek Pembangunan Negeri Sembilan Sejak 2023
KPKT Salur RM430.26 Juta Laksana 80 Projek Pembangunan Negeri Sembilan Sejak 2023
SEREMBAN: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) merekodkan penyaluran peruntukan berjumlah RM430.26 juta bagi pelaksanaan 80 projek pembangunan utama di Negeri Sembilan sejak 2023.
Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming, peruntukan berkenaan melibatkan pelbagai bidang termasuk pembangunan infrastruktur awam, penyelenggaraan perumahan rakyat, pembangunan landskap, rumah ibadat bukan Islam (RIBI), kampung baharu serta kemudahan awam di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Ini merupakan usaha yang dilaksanakan secara konsisten oleh KPKT bagi meningkatkan tahap kesejahteraan rakyat serta memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara langsung oleh masyarakat” katanya ketika berucap pada Program Sentuhan Kasih KPKT 4.0 Tahun 2026 Negeri Sembilan di Sikamat, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Nga Kor Ming berkata kerajaan turut meluluskan peruntukan RM119.6 juta di bawah Rolling Plan 1 (RP1) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) Tahun 2026 bagi pelaksanaan 31 projek pembangunan infrastruktur awam di Negeri Sembilan.
Menurutnya, daripada jumlah tersebut, RM29.6 juta disediakan menerusi Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) bagi pembinaan 390 unit rumah di beberapa daerah di negeri itu.
“Sebanyak RM26.8 juta pula diperuntukkan bagi pelbagai projek pembangunan termasuk pembinaan Pasar Awam Ampangan, Dewan Masyarakat Nilai Impian, Pasar Besar Kuala Pilah dan gerai di Simpang Empat, Jempol.
“Ia turut melibatkan kerja pembaikan cerun, naik taraf pasar awam, penambahbaikan sistem perparitan, penyelenggaraan tandas awam menerusi konsep Bersih, Menawan dan Wangi (BMW) serta projek pembangunan lain bersama PBT” katanya.
Sementara itu, KPKT turut menyediakan RM24 juta bagi pengoperasian Tapak Pelupusan Sanitari Sisa Pepejal Ladang Tanah Merah, Port Dickson.
“Sebanyak RM15.3 juta diperuntukkan bagi pembinaan tiga projek Program Residensi Rakyat (PRR) di Jempol, Port Dickson dan Nilai” katanya.
Menurutnya, RM4.68 juta pula disalurkan bagi kerja baik pulih dan penyelenggaraan harta bersama perumahan kos rendah serta rumah berstrata menerusi 32 projek di bawah Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM) dan Program Penyenggaraan Perumahan (PPP).
“Kerajaan turut menyediakan RM4.5 juta bagi 24 subprojek pembangunan Kampung Baharu, RM3.5 juta untuk projek sanitasi awam termasuk penutupan selamat Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Kampung Keru di Tampin.
“Turut diluluskan RM3.1 juta bagi penyelenggaraan rumah ibadat bukan Islam melibatkan 24 operator RIBI, RM2.2 juta bagi kerja menaik taraf landskap taman awam serta Kajian Pelan Induk Landskap Daerah Kuala Pilah dan RM1.6 juta untuk pembinaan serta pembinaan semula balai bomba di Negeri Sembilan” katanya.
KPKT juga turut memperuntukkan RM680,000 bagi Program Baik Pulih dan Bina Baharu Rumah di Bandar melibatkan 25 unit rumah golongan berpendapatan rendah selain RM943,000 untuk Kajian Semula Rancangan Struktur Negeri Sembilan 2040.
Kesemua inisiatif ini mencerminkan komitmen KPKT dalam memastikan pembangunan negeri dilaksanakan secara lebih tersusun, mampan dan inklusif demi manfaat rakyat Negeri Sembilan.



