MPPD Rancang Naik Taraf Pantai Batu 5, Fokus Keselamatan dan Keselesaan Pengunjung

SEREMBAN: Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) merancang beberapa inisiatif penambahbaikan di Pantai Batu 5 bagi meningkatkan aspek keselamatan, keselesaan serta daya tarikan kawasan rekreasi berkenaan sebagai destinasi pelancongan utama di daerah ini.
Yang Dipertua MPPD, Hasnor Abd. Hamid telah mengadakan lawatan turun padang ke lokasi tersebut semalam bagi meninjau keadaan semasa kawasan serta meneliti cadangan pembangunan yang dirangka untuk memperkemaskan kemudahan dan persekitaran pantai.
Lawatan itu turut disertai pegawai daripada Jabatan Kejuruteraan, Jabatan Landskap dan Pengindahan Bandar, Jabatan Perancang Bandar, Jabatan Perkhidmatan Perbandaran dan Kesihatan serta Jabatan Penguatkuasaan MPPD.
Antara cadangan yang dibincangkan termasuk pelebaran laluan jalan sedia ada bagi memperbaiki susun atur kawasan dan melancarkan aliran trafik serta pergerakan pengunjung, khususnya pada musim cuti dan hujung minggu.
Selain itu, MPPD turut mengenal pasti beberapa pokok uzur yang berisiko mengancam keselamatan orang ramai. Kerja penebangan akan dilaksanakan sebagai langkah pencegahan bagi mengurangkan risiko kemalangan dan memastikan kawasan rekreasi tersebut kekal selamat untuk dikunjungi.
Pantai Batu 5 dilihat mempunyai potensi besar untuk terus berkembang sebagai lokasi rekreasi dan pelancongan yang semakin mendapat perhatian pengunjung berikutan keindahan landskap semula jadi serta kedudukannya yang strategik di Port Dickson.
Penambahbaikan yang dirancang dijangka mampu meningkatkan imej kawasan itu, sekali gus merancakkan aktiviti ekonomi setempat melalui pertambahan kehadiran pelancong dan pengunjung.
Usaha berkenaan selaras dengan aspirasi MPPD untuk memperkasakan kawasan rekreasi awam agar lebih tersusun, kondusif dan berdaya saing, selain menyokong agenda menjadikan Port Dickson sebagai destinasi pelancongan yang bersih, menarik dan lestari.
MPPD turut menegaskan komitmennya untuk memastikan setiap projek pembangunan dan penambahbaikan kemudahan awam dilaksanakan secara teliti, mampan serta memberi impak positif kepada kesejahteraan masyarakat dan pembangunan bandar pesisir itu secara menyeluruh.



