Berita

Pembukaan Jajaran Baharu ICQS Bukit Kayu Hitam-CIQ Sadao Perkukuh Hubungan Malaysia-Thailand

SEREMBAN: Pembukaan jajaran jalan baharu yang menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dengan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao, Thailand disifatkan sebagai langkah penting dalam memperkukuh hubungan dua hala serta meningkatkan kesalinghubungan antara Malaysia dan Thailand.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sejarah telah lama mengikat bumi Malaysia dan Thailand apabila ahli geografi Yunani, Ptolemy pernah menggambarkan wilayah ini sebagai Golden Peninsula, manakala para pedagang silam mengenalinya sebagai Suvarnabhumi, bumi emas yang menjadi nadi perdagangan serta pertemuan tamadun.

“Berabad kemudian, penyair Inggeris, John Milton turut menyebut wilayah tersebut sebagai Golden Chersonese, sekali gus mencerminkan hubungan sejarah yang telah sekian lama terjalin antara kedua-dua negara.

“Pembukaan jajaran baharu ini mencerminkan tekad kedua-dua negara untuk memperkukuh kesalinghubungan, mempercepat aliran perdagangan dan memudah cara pergerakan rakyat.

“Sebagai pintu masuk perdagangan darat paling sibuk antara Malaysia dan Thailand, setiap penambahbaikan di Bukit Kayu Hitam-Sadao membuka ruang kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat serta manfaat yang lebih besar buat rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, pertemuan bersama Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra turut membuahkan hasil apabila kedua-dua negara bersetuju mempercepat pembangunan Zon Ekonomi Khas Sempadan bagi menyelesaikan isu-isu teknikal yang tertangguh serta memperkukuh komitmen mencapai sasaran perdagangan dua hala bernilai AS$30 bilion menjelang 2027.

“Limpahan manfaat daripada kerjasama itu bukan sahaja akan dirasai di kawasan sempadan malah dijangka merancakkan pertumbuhan ekonomi di Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Perak dan Kelantan menerusi peningkatan perdagangan, pelaburan, logistik, pelancongan serta peluang pekerjaan” katanya.

Bukti usaha ini merupakan manifestasi pendekatan Kerajaan MADANI bagi memastikan setiap hubungan strategik membawa manfaat nyata kepada rakyat.

Show More

Related Articles

Back to top button