Berita

KSU KPM tinjau projek gantian SK Tunku Syed Syaaban

TAMPIN: Komitmen memperkasa infrastruktur pendidikan terus dizahirkan apabila Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Dato’ Ts. Dr. Aminuddin Hashim mengetuai lawatan kerja tapak ke Projek Pembinaan Gantian SK Tunku Syed Syaaban, Tampin, petang Isnin.

Lawatan yang berlangsung dari jam 2.00 hingga 4.00 petang itu diadakan bersempena Projek Daif Negeri Sembilan 2021 dan bertujuan meninjau perkembangan semasa kerja-kerja pembinaan gantian bangunan sekolah berkenaan.

Turut hadir, Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS), Puan Khalidah Omar; Pegawai Pendidikan Daerah Tampin, Encik Alias Abdul Samad; jurutera projek, kontraktor utama, pegawai-pegawai JPNS dan Pejabat Pendidikan Daerah serta barisan pengurusan sekolah.

Dalam sesi tersebut, pihak kontraktor utama membentangkan status kemajuan kerja serta memaklumkan beberapa isu dan cabaran pelaksanaan di lapangan termasuk kekangan teknikal dan faktor penyelarasan tapak.

Perbincangan dua hala bersama pihak KPM dan JPNS turut memberi ruang mengenal pasti langkah penambahbaikan segera bagi memastikan projek disiapkan mengikut jadual tanpa menjejaskan keselamatan serta keselesaan pembelajaran murid.

Aminuddin menegaskan bahawa pemantauan berkala dan penyelarasan berkesan antara semua pihak amat penting bagi memastikan setiap projek pembangunan pendidikan mencapai objektif yang disasarkan.

Beliau turut menekankan bahawa penyediaan persekitaran pembelajaran yang selamat, kondusif dan berkualiti merupakan asas kepada kecemerlangan pendidikan negara.

Sementara itu, Puan Khalidah berkata, JPNS sentiasa mengambil pendekatan proaktif dalam memantau kemajuan projek serta menyelaras tindakan susulan bersama pihak teknikal dan kontraktor bagi memastikan kelangsungan proses pembelajaran murid sentiasa terpelihara.

Lawatan ini selari dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 yang menekankan kemampanan infrastruktur pendidikan sebagai pemacu utama pembelajaran berkualiti dan berimpak tinggi.

Inisiatif tersebut turut mendukung Teras Keempat RPM, iaitu memantapkan prasarana fizikal dan digital di semua institusi pendidikan KPM melalui pelaksanaan projek pembangunan secara sistematik, berfasa serta berlandaskan tadbir urus yang cekap dan berakauntabiliti.

Usaha berterusan ini membuktikan komitmen KPM dan JPNS dalam memastikan setiap murid menikmati akses kepada persekitaran pembelajaran yang selamat, kondusif dan bersedia menghadapi keperluan pendidikan abad ke-21.

Show More

Related Articles

Back to top button