Kunjungi Booth Pertubuhan Jaringan Masyarakat Minangkabau : Hayati Warisan Serumpun di Pepatih Festival

SEREMBAN – Hubungan sejarah antara Negeri Sembilan dan Minangkabau dari Sumatera Barat terus dizahirkan melalui pameran dan penyertaan masyarakat serumpun dalam Pepatih Festival.
Antara yang menarik perhatian pengunjung ialah booth Pertubuhan Jaringan Masyarakat Minangkabau Malaysia sempena Pepatih Festival yang sedang berlangsung selama tiga hari bermula pada 10 Oktober sehingga 12 Oktober bertempat di Muzium Negeri Sembilan.
Booth tersebut mempamerkan pelbagai hasil kraftangan dan pakaian adat warisan Minangkabau seperti pakaian Bundo Kanduang (Ibu Soko), kain pelikat, batik sutera serta pelbagai perhiasan tradisional.
Menurut Montri Elpeda, 51 tahun, yang juga ahli jawatankuasa pertubuhan tersebut, penyertaan mereka dalam festival kali ini bertujuan memperkenalkan semula hubungan rapat antara adat Minangkabau dan Adat Pepatih yang diamalkan di Negeri Sembilan.
“Kalau di Sumatera Barat, kami panggil Bundo Kanduang tapi di Negeri Sembilan gelarannya Ibu Soko. Struktur adatnya serupa malah kedua-duanya mengangkat peranan wanita sebagai pewaris keturunan,” jelasnya.
Beliau turut berkongsi bahawa hampir semua hasil kraftangan di booth berkenaan dibawa khas dari Padang, Sumatera Barat termasuk dompet tenunan tangan, tanjak, deta (penutup kepala lelaki), serunai dari tanduk kerbau serta pelbagai barangan anyaman buluh dan pandan.
“Semua barang ni asli dari Minangkabau. Ada batik, ada kain pelikat dan juga alat muzik tradisional seperti serunai serta bangsi gadang. Kami nak tunjukkan bahawa hasil tangan orang Minang masih kukuh diwarisi hingga kini,” katanya.
Selain itu, Montri turut menekankan bahawa adat dan budaya Minangkabau bukan sekadar pakaian atau hasil kraftangan tetapi lambang jati diri dan nilai kehidupan yang tinggi.
“Adat kami ni sama seperti di Negeri Sembilan yang berlandaskan keturunan ibu. Sebab tu pepatah kami kata indak lapuk dek hujan, indak lakang dek panas. Walau di mana pun berada, orang Minang tetap berpegang pada adat dan agama,” ujarnya penuh semangat.
Beliau juga menyeru rakyat Malaysia untuk datang melawat booth mereka dan mengenali dengan lebih dekat budaya Minangkabau yang kaya dengan seni dan falsafah hidup.
“Kami bukan sekadar berniaga. Kami nak orang faham bahawa adat Minang dan Adat Pepatih ni bersaudara. Kalau Negeri Sembilan ada Ibu Soko, kami ada Bundo Kanduang yang sama-sama menjaga maruah dan keturunan,” katanya sambil menzahirkan rasa bangga dapat menyertai festival tersebut.
Menurut beliau lagi, acara seperti Pepatih Festival memainkan peranan penting dalam menghubungkan semula warisan dua wilayah yang berkongsi akar budaya yang sama.