Berita

Langkah keselamatan akan ditambah baik di simpang Taman Matahari Heights

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, langkah keselamatan akan ditambah baik di persimpangan Taman Matahari Heights di Senawang.

“Sebelum ini Jabatan Kerja Raya telah membuat kajian dan telah mengubah pusingan arah lampu isyarat beroperasi sebagai salah satu langkah keselamatan.

“Walau bagaimanapun pada 16 Jun lalu berlaku satu lagi kemalangan membabitkan dua buah motosikal.

“Justeru itu, saya akan berhubung dengan Pengarah Jabatan Kerja Raya supaya semak kenapa dan punca kemalangan di persimpangan tersebut berlaku lagi.

“Kita akan lihat apa lagi yang perlu kita tambah baik di kawasan tersebut termasuk pemasangan ‘speed breaker’, supaya tak berlaku lagi kemalangan di persimpangan Taman Matahari Heights,” kata Aminuddin.

Aminuddin berkata demikian di Sidang Media selepas Majlis Penghargaan Pesara Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan Tahun 2024 di Palm Mall Hotel, Seremban.

Sebelum ini tular di media sosial sebuah video kejadian kira-kira jam 9.28 malam itu yang memaparkan perlanggaran membabitkan dua buah motosikal.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila sebuah motosikal dari arah Lavender Height menghala ke Bukit Blossom telah bergerak ketika lampu isyarat berwarna merah.

“Kemudian, datang sebuah motosikal dari arah Taman Sri Mawar melanggar bahagian sisi kiri motosikal tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, kemalangan itu mengakibatkan kedua-dua penunggang motosikal luka pada bahagian badan dan tangan.

 

Show More

Related Articles

Back to top button