Lapan jenis barangan keperluan dikawal sempena sambutan Deepavali
SEREMBAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan telah mengenal pasti sebanyak lapan jenis barangan yang akan dikawal di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2024 peringkat Negeri Sembilan.
Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan, Veerapan Superamaniam berkata, lapan jenis barangan tersebut adalah daging kambing biri-biri bertulang import, tomato, cili merah, kelapa biji (Harga maksimum di peringkat borong sahaja), kelapa parut (Harga maksimum di peringkat runcit sahaja); bawang merah kecil (India) termasuk Ros, bawang merah besar import dan kacang dal (Australia).
“Tempoh perlaksanaan ini berkuatkuasa dari 28 Oktober hingga 3 November 2024 selama tujuh hari iaitu tiga hari sebelum perayaan, satu hari semasa perayaan dan tiga hari selepas perayaan.
“Pemantauan dan pemeriksaan harian oleh Pegawai-Pegawai Penguat Kuasa KPDN di Negeri Sembilan akan dilaksanakan di lokasi-lokasi strategik seperti di pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah barangan keperluan perayaan.
“Selain itu, adalah menjadi satu kesalahan iaitu menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum yang boleh boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000 bagi kategori individu dan denda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000 bagi kategori syarikat,” jelas Veerapan.
Veerapan menambah, kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000 bagi kategori individu dan denda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000 bagi kategori syarikat.
“KPDN Negeri Sembilan meminta kerjasama orang ramai untuk membuat aduan sekiranya berlaku salah laku oleh peniaga berhubung ketidakpatuhan ke atas Skim bersama butiran aduan yang lengkap melalui saluran Whatsapp ke 019- 848 8000, Aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN, Pusat Panggilan 1-800-886-800 atau melalui Portal Aduan: e-aduan.kpdn.gov.my.
“Kerajaan berharap semua pihak dapat mematuhi harga-harga yang telah ditetapkan ini dan menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal harganya,” katanya.
Veerapan berkata demikian semasa majlis perasmian ‘Walkabout Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2024 peringkat Negeri Sembilan’ di Pasaraya Giant Senawang.
Turut hadir sama, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan.