BeritaMenarik

Larangan penggunaan beg plastik sekali guna, polisterina serta penggunaan penyedut minuman

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan telah melaksana larangan penggunaan beg plastik sekali guna, polisterina serta penggunaan penyedut minuman (hanya) atas permintaan di seluruh Negeri Sembilan sejak 5 Oktober 2022.

Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan, Veerapan Superamaniam berkata, langkah ini diambil sebagai usaha serius Kerajaan Negeri untuk mengurangkan pencemaran alam sekitar yang disebabkan oleh penggunaan plastik yang sukar dilupuskan.

“Latar belakang ini berakar umbi dari keperluan untuk menangani isu pencemaran plastik yang semakin kritikal.

“Plastik sekali guna seperti beg plastik, bekas makanan polisterina dan penyedut minuman tidak hanya mencemarkan alam sekitar tetapi juga mengambil masa beratus-ratus tahun untuk terurai.

“Pencemaran plastik ini telah memberi kesan negatif kepada ekosistem kita, mengancam hidupan liar serta mencemarkan tanah dan sumber air.

“Oleh itu, setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah diarahkan untuk mengadakan kempen kesedaran dan memasukkan larangan ini dalam syarat permohonan lesen serta penguatkuasaan bermula 1 Mei 2023,” kata beliau.

Menurut Veerapan, larangan ini turut merangkumi penggunaan plastik lutsinar atau bekas makanan, kotak makanan tengahari (transparent lunch box) serta semua jenis beg plastik yang lain melainkan yang disarankan oleh Kerajaan Negeri Sembilan.

“Langkah ini juga bertujuan untuk menggalakkan penggunaan plastik biodegradasi yang mudah terurai (biodegradable and compostable) serta beg jenis kertas/kain dan jaring.

“Usahawan yang dipilih dalam program NS choice juga membekalkan produk-produk biodegradable.

“Peniaga boleh mendapatkan bekalan ini daripada usahawan NS choice,” jelas Veerapan lagi.

Veerapan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repah berkata, Kerajaan Negeri Sembilan menggalakkan dan mengutamakan produk NS choice.

“Kerajaan Negeri juga menegaskan bahawa tiada caj tambahan boleh dikenakan kepada pelanggan atas penyediaan atau pemberian beg plastik jenis biodegradasi ini.

“Saranan ini diambil untuk menggalakkan peniaga dan masyarakat berhenti menggunakan beg plastik sekali guna serta beralih kepada bahan yang lebih mesra alam.

“Sehubungan itu, semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Negeri Sembilan diarahkan untuk menguatkuasakan larangan ini kepada semua penganjur Bazar Ramadhan 2025 sebagai syarat kelulusan lesen penganjuran.

“Pihak PBT juga perlu mengadakan pemantauan secara berkala untuk memastikan pematuhan terhadap larangan ini dan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang melanggar syarat ini, termasuk mengenakan kompaun,” ujarnya.

Veerapan berharapkan semua peniaga akan melaksanakan arahan ini demi meningkatkan kelestarian alam dan kesejahteraan masyarakat di Negeri Sembilan.

“Dengan penguatkuasaan larangan ini, Kerajaan Negeri Sembilan berharap dapat memberikan impak positif dalam usaha memelihara dan memulihkan alam sekitar, serta membentuk masyarakat yang lebih bertanggungjawab terhadap penggunaan bahan yang memudaratkan ekosistem kita,” kata Veerapan.

Show More

Related Articles

Back to top button