Litar Drag Race untuk anak muda bukti Kerajaan Negeri cemerlang laksana manifesto
EDY NOOR REDUAN: Sempena Hari Kemerdekaan, Negeri Sembilan telah digegarkan dengan penganjuran sebuah perlumbaan Drag Race yang sedang berlangsung di Litar Jempol Motorplex bermula hari Jumaat yang lalu dan kemuncaknya pada malam Merdeka nanti. Alhamdulillah, Jempol Motorplex telah dibangunkan sebagai litar lumba ‘drag race’ pertama di Malaysia, dan setiap rakyat Nismilan harus berbangga kerana ianya terletak di Jempol, Negeri Kito.
2. Dari sebuah litar lama yang pernah terbiar selama belasan tahun, kini dibangunkan semula Jempol Motorplex dengan kos yang menelan belanja melebihi RM1.3 juta. Ia adalah satu usaha terbaik kerjasama di antara agensi swasta, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Kerajaan Negeri yang berperanan membantu dari sudut pemudahcara agar proses pembangunan litar berjaya dijalankan tanpa karenah birokrasi.
3. Pembinaan semula Jempol Motorplex ini adalah selaras dengan pelaksanaan salah satu Manifesto Pakatan Harapan Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu. Ia merupakan hadiah buat rakyat di negeri ini khususnya kepada anak-anak muda Nismilan agar mempunyai kecenderungan menceburi industri permotoran. Siapa tahu mungkin selepas ini Litar Jempol Motorplex mampu melahirkan pemain industri permotoran dan perlumbaan di persada antarabangsa.
4. Adalah menjadi satu kewajaran setiap negeri untuk dibangunkan litar lumba yang tersendiri, samada litar untuk ‘drag race’, litar ‘drift race’ atau pun litar perlumbaan konvensional khas buat anak muda melunaskan hasrat berlumba dengan cara yang lebih selamat.
5. Dengan adanya lebih banyak litar pelbagai jenis perlumbaan, secara tidak langsung akan mengurangkan insiden perlumbaan haram di atas jalan raya yang selama ini telah meragut banyak nyawa anak muda. Insiden yang berlaku sebulan lalu di lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, Pulau Pinang membabitkan kehilangan 4 nyawa sekaligus. Perihal anak muda seperti ini harus dititikberat memandangkan mereka juga adalah aset negara.
6. Dari sudut ekonomi pula, pembangunan infrastruktur sukan perlumbaan seperti Jempol Motorplex secara tidak langsung mewujudkan peluang perniagaan bagi penduduk setempat seperti lot premis makanan dan minuman, akan mencambah serta melariskan homestay dan membawa pelancong luar memenuhi bumi Jempol. Dengan adanya litar lumba Jempol Motorplex, diharapkan lebih banyak program perlumbaan bakal dijadualkan sepanjang tahun, bukanlah setahun sekali.
7. Setinggi tahniah diucapkan buat Kerajaan Negeri yang dipimpin Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun yang sentiasa prihatin terhadap semua golongan di Negeri Sembilan dan kali ini telah merealisasikan aspirasi anak muda. Tahniah juga kepada Exco Belia dan Sukan Negeri Sembilan, YB Dato’ Mohamad Taufek Abdul Ghani yang memberi sokongan dan juga pihak Pusat Pembangunan Belia Harapan Negeri Sembilan (TABAH) yang turut terlibat dalam menjayakan pengisian program.
8. Syabas diucapkan kepada pihak penganjur, pihak penaja, agensi PBT, agensi keselamatan dan semua pihak yang terlibat menjayakan pesta perlumbaan Merdeka Drag Race yang berlangsung selama tiga hari ini bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia. Sambutan merdeka di litar lumba adalah satu kegemaran anak muda, sama seperti saya muda-muda dulu, malam merdeka adalah malam perlumbaan untuk ‘merdeka’ dengan cara anak muda.
9. Saya percaya penganjuran perlumbaan di litar ini sedikit sebanyak memberi kemahsyuran terhadap nama Negeri Sembilan, menaikkan rating industri pelancongan tempatan khususnya di daerah Jempol. Adalah wajar agar tarikh-tarikh perlumbaan yang dianjur pada masa akan datang supaya diselitkan ke dalam kalendar pelancongan Negeri Sembilan, malah Merdeka Drag Race juga diiktiraf sebagai acara tahunan Kerajaan Negeri.
10. Didoakan semoga Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan yang cemerlang khususnya dalam melaksanakan janji manifesto, akan sekali lagi diberi mandat untuk mentadbir Negeri Sembilan. Insya Allah.
Edy Noor Reduan
Aktivis Blogger