Longkang monsoon di Kampung Bahagia Jiboi akan dinaiktaraf

AMPANGAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan, Tengku Zamrah Tengku Sulaiman telah turun padang bagi melawat tapak projek menaiktaraf longkang monsun di Kampung Bahagia Jiboi, Ampangan.
“Ini satu inisiatif penting untuk menangani isu saliran dan banjir yang sering membelenggu penduduk di kawasan ini.
“Lawatan ini bertujuan untuk meneliti skop pelaksanaan kerja, mengenal pasti cabaran awal serta memastikan projek ini berjalan lancar dan memberi impak positif kepada komuniti.
“Dalam masa terdekat, satu perjumpaan bersama penduduk akan diadakan bagi menerangkan secara terperinci tentang pelaksanaan projek ini, termasuk jadual kerja dan langkah-langkah keselamatan.
“Pendapat dan pandangan penduduk amat dialu-alukan dalam memastikan kejayaan projek ini.
“Projek menaiktaraf ini bukan sahaja membawa nilai pembangunan infrastruktur, malah memperkukuh semangat kerjasama antara agensi kerajaan, kontraktor, kepimpinan setempat dan komuniti demi kesejahteraan Bersama,” kata Tengku Zamrah.
Tengku Zamrah mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat atas komitmen dan keprihatinan.
Turut bersama dalam lawatan ini ialah wakil dari Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Ahli Majlis MBS, Pengerusi JPKK Kampung Bahagia Jiboi, serta wakil syarikat kontraktor yang akan melaksanakan projek ini.