LRA Pantai dijangka siap Jun 2026 dengan kos RM21 juta

SEREMBAN: Projek naik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Pantai sedang berjalan.
Projek ini telah bermula pada 15 Julai 2024 dan dijadualkan siap pada 26 Jun 2026 (EOT 1) dengan kos keseluruhan berjumlah RM20.998 juta.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, apabila siap sepenuhnya, loji ini akan mempunyai kapasiti rekabentuk 18.18 juta liter air sehari, sekali gus memperkukuh bekalan air khususnya di sekitar kawasan Pantai dan Sikamat.
“Kerajaan Negeri komited memastikan infrastruktur asas seperti bekalan air sentiasa berada dalam keadaan terbaik, selari dengan pertumbuhan kawasan perumahan dan pembangunan setempat.
“Kita tidak mahu bertindak selepas berlaku tekanan, tetapi merancang lebih awal demi kestabilan jangka panjang.
“Insya Allah, usaha berterusan ini akan memberi keyakinan dan ketenangan kepada rakyat bahawa bekalan air negeri sentiasa diperkasa, demi kesejahteraan bersama,’ kata Aminuddin.



