SEREMBAN: Mahkamah Tinggi Seremban menolak saman fitnah RM20 juta yang dikemukakan oleh sebuah syarikat terhadap Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin berkaitan pembinaan sebuah insinerator di Bandar Baru Sendayan.
Pesuruhjaya Kehakiman, Haldar Abdul Aziz membuat keputusan itu selepas mendapati plaintif, SPM Resources Sdn Bhd gagal untuk membuktikan atas kebarangkalian bahawa kenyataan Cha berunsur fitnah.
Peguam mewakili Cha, Lee Kai Yet berkata, mahkamah memutuskan defendan (Cha) berjaya membuktikan pembelaannya.
“Defendan telah membangkitkan beberapa pembelaan termasuk pembelaan justifikasi, ulasan saksama dan perlindungan bersyarat sebagai seorang ahli parlimen.
“Mahkamah juga telah menghakimkan satu kos sebanyak RM50,000 dibayar oleh plaintif kepada Cha,” kata Lee kepada Negeri Kita.
Lee berkata, Haldar membuat keputusan penghakiman menerusi aplikasi Zoom.
SPM Resources Sdn Bhd menuntut ganti rugi am sebanyak RM10 juta, ganti rugi punitif RM5 juta dan ganti rugi teladan RM5 juta atas dakwaan Cha membuat kenyataan berunsur fitnah.
Menurut Lee, plaintif juga menuntut Cha membuat permohonan maaf secara bertulis, mengiklan permohonan maaf di dalam akhbar nasional harian Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil selama tiga hari berturut-turut; selain permohonan injuksi menghalang Cha mengulangi kenyataan tersebut.
“Saman fitnah ini difailkan pada Julai 2021.
“Syarikat tersebut mendakwa Cha membuat tiga kenyataan berunsur fitnah dalam akaun Facebook beliau, satu berita dalam portal rasmi Kerajaan Negeri iaitu Negeri Kita dan dalam sebuah ucapan di sebuah kelab rekreasi di Bandar Sri Sendayan.
“Kenyataan tersebut dibuat sekitar bulan Mac dan April 2021.
“Pihak plaintif gagal menyanggah justifikasi hujahan pihak pembelaan serta gagal membuktikan wujud elemen fitnah dalam hantaran di Facebook, laporan berita portal Negeri Kita dan ucapan di sebuah kelab rekreasi di Bandar Sri Sendayan oleh anak guam kami,” jelas Lee.
Hadiah hari jadi paling berharga
Dalam pada itu, Cha yang dihubungi Negeri Kita berkata, beliau gembira apabila kes yang berlarutan selama tiga tahun akhirnya berakhir.
“Ini hadiah hari jadi paling berharga kepada saya,” katanya dari Beijing.
Cha kini berada di Beijing, China atas lawatan rasmi kerja.
Selain Lee, turut mewakili Cha dalam kes ini ialah peguam Ong Chong Ming and Neo Hui Yee.
Lee juga merupakan Timbalan Setiausaha DAP Negeri Sembilan dan Pengerusi Biro Undang-Undang DAP Negeri Sembilan.