BeritaMenarik

Bonus dua bulan gaji bagi penjawat awam Negeri Sembilan

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun mengumumkan Bantuan Khas Kewangan sebanyak dua bulan gaji kepada 6,613 penjawat awam yang berada di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri.

“Secara keseluruhannya saya amat berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh penjawat awam di negeri ini.

“Pengiktirafan demi pengiktirafan yang diterima di peringkat nasional membuktikan tadbir urus dan tata kelola perkhidmatan awam negeri ini berada pada tangga aras yang tinggi dan sering dijadikan contoh oleh negeri-negeri lain.

“Kejayaan kita mengubah daripada belanjawan defisit kepada surplus untuk dua tahun berturut-turut menjadi bukti kukuh bahawa tiada yang mustahil untuk dicapai sekiranya disokong dengan iltizam dan tekad jitu semua penjawat awam.

“Menghargai dan menginsafi pengorbanan dan kesungguhan penjawat awam dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, sukacita saya umumkan Bantuan Khas Kewangan sebanyak dua bulan gaji kepada semua penjawat awam yang berada di bawah Pentadbiran Kerajaan Negeri,” kata Aminuddin.

Aminuddin berkata, penghargaan ini akan dipanjangkan kepada semua penjawat awam Negeri, Badan Berkanun Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan seramai 6,613 orang semuanya yang akan dibayar pada bulan Januari 2025 dan sebelum Aidilfitri pada bulan Mac 2025.

Aminuddin mengumumkan demikian semasa Pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan 2025 di Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-15 di Seremban sebentar tadi.

Belanjawan Negeri Sembilan 2025 kekal bertema ‘Bersama Membina Negeri MADANI’.

Show More

Related Articles

Back to top button