SEREMBAN: Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Dato’ Mohd Zafir Ibrahim mewakili seluruh penjawat awam Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih atas beberapa insentif khas untuk penjawat awam negeri seperti diumumkan dalam pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan Tahun 2025 pada Jumaat.
Mohd Zafir berkata, seramai 6,613 penjawat awam di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri akan menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) dua bulan gaji yang akan dibayar selewat-lewatnya awal bulan Januari 2025 dan sebelum Aidilfitri pada bulan Mac 2025.
“Selain itu, penghargaan kepada Kerajaan Negeri yang bersetuju untuk memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi Skim Pinjaman Kenderaan Tanpa Faedah dan RM50,000 bagi Pinjaman Komputer Tanpa Faedah pada tahun 2025, khas bagi penjawat awam.
“Selaras dengan tema Belanjawan Negeri Sembilan Tahun 2025 iaitu ‘Bersama Membina Negeri MADANI’, saya menyeru agar semua penjawat awam di Negeri Sembilan bersama-sama berganding bahu memberikan penyampaian perkhidmatan yang terbaik bagi mengukuhkan kegemilangan negeri demi kesejahteraan rakyat selaras dengan seruan pucuk pimpinan negeri.
“Berusahalah dengan lebih gigih lagi untuk mempertingkat produktiviti, tatakelola, nilai integriti dan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Teruskan komitmen kita sebagai penjawat awam bagi mendukung aspirasi Kerajaan Negeri demi menjadikan Negeri Sembilan sebagai model sebuah negeri maju yang bersatu padu, bertoleransi, saling menghormati, bertamadun dengan ekonomi yang mampan dan kehidupan rakyat aman makmur serta sejahtera,” kata Mohd Zafir.