SEREMBAN: Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan mengumumkan 66 inisiatif berjumlah RM96.23 juta untuk rakyat Negeri Sembilan dalam Belanjawan Tahun 2025.
Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, Kerajaan Negeri menyediakan pelbagai bantuan kewangan, pemberian tunai, insentif bukan kewangan dan bantuan sokongan yang telah direncanakan oleh Kerajaan Negeri untuk dimanfaatkan oleh rakyat.
“Belanjawan 2025 ini akan memberi fokus kepada sembilan Bidang Tumpuan yang meliputi 66 inisiatif berjumlah RM96.23 juta.
“Sebanyak 23 inisiatif baharu bernilai RM26.15 juta disediakan yang disokong oleh 43 inisiatif sedia ada dengan nilai RM70.08 juta,” kata beliau.
Berikut adalah pecahan bidang tumpuan Belanjawan 2025 iaitu:
i. Bidang Tumpuan Pertama: Kemampanan Ekonomi Rakyat dengan peruntukan sebanyak RM6.35 juta;
ii. Bidang Tumpuan Kedua: Keterjaminan Makanan dengan peruntukan sebanyak RM8.63 juta;
iii. Bidang Tumpuan Ketiga: Pendidikan dengan peruntukan sebanyak RM19.66 juta;
iv. Bidang Tumpuan Keempat: Pemerkasaan Komuniti dengan peruntukan sebanyak RM16.47 juta;
v. Bidang Tumpuan Kelima: Kerohanian dan Agama dengan peruntukan sebanyak RM19.93 juta;
vi. Bidang Tumpuan Keenam: Pemerkasaan Wanita, Belia dan Sukan dengan peruntukan sebanyak RM10.40 juta;
vii. Bidang Tumpuan Ketujuh: Pelancongan, Adat dan Budaya dengan peruntukan sebanyak RM12.45 juta;
viii. Bidang Tumpuan Kelapan: Kelestarian Alam Sekitar dengan peruntukan sebanyak RM1.0 juta; dan
ix. Bidang Tumpuan Kesembilan: Kebajikan dan Kesihatan dengan peruntukan sebanyak RM1.34 juta.
Aminuddin mengumumkan demikian semasa Pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan 2025 di Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-15 di Seremban pada Jumaat.
Belanjawan Negeri Sembilan 2025 bertema ‘Bersama Membina Negeri MADANI’.