PORT DICKSON: Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) telah menyumbang Kubah Pengering Solar kepada Persatuan Nelayan Kawasan Telok Kemang, Port Dickson.
Pengerusi MAINS, Dato’ Seri Dr.Abdul Aziz Sheikh Ab.Kadir berkata, Kubah Pengering Solar yang disumbangkan melalui dana wakaf ini mampu mempertingkatkan kualiti dan nilai komersial hasil tangkapan nelayan.
“Dengan teknologi ini, ikan dapat dikeringkan secara lebih efisien, bersih dan konsisten sekali gus meningkatkan daya saing produk tempatan di pasaran.
“Sebelum adanya Kubah Pengering Solar ini, nelayan terpaksa mengambil masa tiga hingga empat hari untuk mengeringkan ikan tetapi sekarang nelayan hanya perlu mengambil masa empat hingga lima jam untuk menghasilkan ikan kering.
“Hal ini dapat meningkatkan kuantiti ikan kering untuk dibekalkan ke pasaran dan memberikan peluang kepada nelayan untuk menembusi pasaran yang lebih luas sama ada di peringkat tempatan mahupun antarabangsa,” kata beliau.
Menurut Abdul Aziz, sumbangan Kubah Pengering Solar adalah bukti bagaimana perkhidmatan wakaf dapat dimanfaatkan secara kreatif dan inovatif.
“MAINS sentiasa komited untuk memperluaskan manfaat wakaf kepada pelbagai sektor kehidupan sejajar dengan matlamat untuk memperkasakan umat Islam melalui pendekatan yang holistik dan mampan.
“Wakaf bukan sahaja bertujuan untuk memenuhi keperluan semasa tetapi juga untuk mewujudkan kesinambungan manfaat kepada generasi akan datang.
“Selain itu peranan wakaf juga dapat menyokong pembangunan ekonomi negeri dan mengurangkan kebergantungan kepada sumber kewangan lain,” ujarnya.
Abdul Aziz menambah, Kubah Pengering Solar ini bukan sahaja memberikan kemudahan kepada komuniti nelayan tetapi juga membawa nilai tambah kepada sektor perikanan di Teluk Kemang.
“Saya percaya teknologi ini akan menjadi pemangkin kepada usaha-usaha inovatif yang lain dalam bidang perikanan seterusnya membantu meningkatkan taraf hidup komuniti nelayan dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan di kawasan Telok Kemang ini.
“Kubah Pengering Solar kepada Persatuan Nelayan Kawasan Teluk Kemang adalah salah satu inisiatif untuk memperkasakan ekonomi komuniti nelayan di kawasan Telok Kemang ini.
“Kubah Pengering Solar ini adalah hasil daripada dana wakaf yang dikumpulkan melalui inisiatif wakaf MAINS.
“Dana ini telah disumbangkan oleh orang ramai yang ingin menyemai kebaikan dalam masyarakat khususnya dalam membantu golongan yang memerlukan.
“Inisiatif ini bukan sahaja menyumbang kepada pemuliharaan alam sekitar melalui penggunaan teknologi mesra alam tetapi juga memberikan peluang kepada para nelayan untuk meningkatkan kecekapan dan produktiviti serta hasil pendapatan mereka,” jelas Abdul Aziz.
Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata, wakaf merupakan salah satu instrumen penting dalam perkhidmatan yang ditawarkan oleh MAINS.
Melalui dana Wakaf MAINS pelbagai program telah dilaksanakan untuk memperkukuhkan ekonomi umat Islam di Negeri Sembilan.
Dana wakaf telah digunakan untuk membangunkan projek-projek yang memberikan impak langsung kepada golongan asnaf termasuklah dalam bidang pembangunan, pendidikan, kesihatan, dan sosio ekonomi.
“Saya ingin menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada semua pihak yang telah menyumbang kepada kejayaan program ini termasuk Bank Muamalat dan para penyumbang wakaf yang telah menunjukkan keprihatinan terhadap kebajikan umat Islam serta usaha pihak PERHEBAT turut sama menyiapkan platform/tapak kubah pengering solar ini.
“Sesungguhnya, setiap usaha yang kita lakukan hari ini adalah langkah kecil yang membawa kepada perubahan besar dalam kehidupan golongan asnaf dan komuniti nelayan.
“Adalah diharapkan kerjasama erat seperti ini dapat diteruskan di masa hadapan dan manfaatnya dapat dinikmati oleh lebih ramai pihak.
“Semoga segala usaha kita diberkati Allah SWT dan menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk terus memberikan sokongan kepada inisiatif-inisiatif wakaf yang seterusnya,” kata Abdul Aziz.