Berita

Malaysia akhiri kemarau 34 Tahun, rampas kejuaraan regu berpasukan dari Thailand

Skuad sepak takraw lelaki Malaysia akhirnya menamatkan penantian panjang selama 34 tahun untuk muncul juara acara regu berpasukan apabila menewaskan Thailand 2-1 pada perlawanan akhir Sukan SEA 2025 di Gimnasium Nakhon Pathom, Thailand.

Kejayaan bersejarah itu sekali gus memadam dominasi berpanjangan Thailand yang selama lebih tiga dekad menjadi penghalang utama Malaysia dalam acara berprestij berkenaan.

Kali terakhir negara menjulang gelaran tersebut adalah pada Sukan SEA 1991 di Manila.

Lebih manis, kemenangan itu dicapai di gelanggang lawan apabila skuad negara mempamerkan semangat juang tinggi serta ketenangan dalam aksi penentuan, sekali gus mengejutkan penyokong tuan rumah yang mengharapkan Thailand meneruskan penguasaan mereka.

Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia, Datuk Mohd Sumali Reduan menyifatkan kejayaan tersebut sebagai detik paling bermakna dalam sejarah sukan sepak takraw negara, terutama selepas menunggu lebih tiga dekad untuk kembali berada di puncak kejohanan.

Beliau turut memuji kesungguhan dan mentaliti pemain yang berjaya mengatasi tekanan besar beraksi di hadapan ribuan penyokong Thailand, sambil menyifatkan kemenangan itu sebagai hasil kerja keras berpasukan dan kepercayaan terhadap perancangan jurulatih.

“Kejayaan ini amat istimewa. Ia bukan sekadar kemenangan ke atas Thailand, tetapi simbol kebangkitan semula sepak takraw Malaysia selepas sekian lama menunggu detik ini,” katanya selepas perlawanan.

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button