SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan akan meneruskan tradisi mantai di negeri ini menerusi Program Mantai Perdana pada 20 April ini membabitkan 22 lokasi.
Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, Exco Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negeri Sembilan, YB Dato’ Bakri Sawir akan menyelaras perjalanan program bagi memudahkan urusan jualan dan pembelian daging.
“Harga jualan daging yang dicadangkan oleh Kerajaan Negeri adalah sebanyak RM37 sekilogram.
“Berapa banyak (kilogram) daging yang bakal dijual nanti masih belum dimuktamadkan.
“Konsep jualannya sama seperti tahun lalu, di mana pembeli boleh membuat pesanan dalam talian menerusi aplikasi Agrobazar Online bagi menempah daging dan kemudian mengambil pesanan itu di lokasi berkenaan.
“Walaubagaimanapun, bagi pembelian secara terus, Kerajaan Negeri masih belum memuktamadkan lokasi tetapi sudah pasti ia akan diadakan di kawasan tumpuan orang ramai,” katanya.
Aminuddin berkata demikian di Sidang Media Pasca Mesyuarat Exco di Wisma Negeri.