MARA fokus perkasa usahawan wanita luar bandar

TAMPIN: Pengerusi MARA, Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dusuki telah merasmikan Program Pemerkasaan Usahawan Wanita MARA 2025 dengan jayanya di Dewan Perdana Tampin.
Program ini merupakan Program Pemerkasaan Usahawan Wanita MARA yang ke-93 di seluruh Malaysia bagi tahun 2025, sekali gus menjadi penutup tirai pelaksanaan program berimpak ini untuk tahun ini.
Penganjuran program ini jelas membuktikan kesungguhan dan komitmen berterusan MARA dalam memperkasa golongan wanita, khususnya di peringkat akar umbi, agar mereka dapat melibatkan diri secara aktif dan mampan dalam bidang keusahawanan.
Inisiatif seperti ini membuka ruang dan peluang kepada wanita luar bandar untuk meningkatkan keupayaan diri melalui sokongan menyeluruh merangkumi latihan, bimbingan serta akses kepada ekosistem keusahawanan yang disediakan oleh MARA.
Usaha ini selari dengan aspirasi #MerakyatkanMARA, memastikan kemudahan dan peluang yang ditawarkan benar-benar sampai dan dimanfaatkan oleh masyarakat di peringkat bawah.
Lebih enam dekad MARA memainkan peranan penting dalam membangunkan ekonomi dan modal insan negara, khususnya dalam bidang pendidikan dan keusahawanan.
Namun, masih terdapat segelintir masyarakat yang belum menyedari sepenuhnya peluang besar yang tersedia.
Justeru, program sebegini amat penting sebagai medium kesedaran, pendedahan dan pemerkasaan komuniti.
Fokus kepada wanita luar bandar sebagai pemacu ekonomi setempat amat bertepatan dengan agenda pembangunan yang inklusif dan seimbang.
Saya percaya dan yakin bahawa wanita yang diperkasa bukan sahaja mampu meningkatkan kesejahteraan keluarga, malah menjadi agen perubahan kepada pembangunan masyarakat dan kemajuan negara.
Tahniah dan syabas kepada MARA serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini. Semoga usaha murni ini terus diperkukuhkan demi masa depan wanita dan ekonomi negara.
Turut hadir bersama Ahli Parlimen Tampin, Dato’ Mohd Isam Mohd Isa; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh, Puan Sri Dato’ Bibi Sharliza Mohd Khalid; ADUN Gemencheh, Suhaimizan Bizar dan ADUN Jeram Padang, Dato’ Mohd Zaidy Abdul Kadir.



