MELAKA: MARDI mencipta sejarah baru dengan pengisytiharan satu lagi varieti baharu padi MARDI iaitu MR326 atau KESIDANG.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Dato’ Seri Mohamad Sabu berkata, Varieti MR326 diperkenalkan untuk meningkatkan hasil dan alternatif kepada varieti sedia ada terutamanya di kawasan luar jelapang.
“Sehingga kini, MARDI telah menghasilkan 56 varieti padi di mana 41 daripadanya adalah varieti bagi beras putih biasa dan 12 varieti spesialti.
“Insya Allah, saya yakin dengan penghasilan benih baharu yang lebih berkualiti dan tahan ancaman iklim ini, ianya dapat membantu meningkatkan hasil para pesawah serta membantu kementerian untuk memastikan sekuriti makanan negara terjamin,” katanya.
Mohamad berkata demikian di Majlis Pengisytiharan Varieti Padi Baharu MARDI iaitu MR326 di Kampung Sempang, Merlimau yang disempurnakan oleh Ketua Menteri, Dato’ Seri Utama Ab. Rauf Yusoh.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, dalam Belanjawan 2025 sejumlah RM21.3 juta diperuntukkan kepada Kerajaan Negeri Melaka untuk sambungan projek sedia ada dan projek baharu pertanian di negeri ini.
“Sementara itu bagi perlaksanaan Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan Melaka, sejumlah RM10 juta diperuntukkan untuk Projek Sekuriti Makanan Pertanian Negeri Melaka.
“Terima kasih kepada YAB Ketua Menterui di atas kesudian menyempurnakan majlis pengisytiharan varieti padi baharu dan penghargaan juga kepada Cikgu Rahmad Anuar yang memberikan sokongan kepada MARDI dengan menjadikan sawahnya sebagai plot perintis penanaman MR326.
“Setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada Kerajaan Negeri Melaka kerana telah bekerja keras untuk menyakinkan para pesawah di negeri ini untuk menanam varieti padi MR326,” ujar Mohamad lagi.
Kredit: Facebook Mohamad Sabu dan MARDI