Harga lantai belian padi telah dinaikkan dua kali

KUALA LUMPUR: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Dato’ Seri Mohamad Sabu telah membahaskan isu padi dan beras di Dewan Rakyat.
Mohamad berkata, soal pemutuan padi yang tinggi dan tak sekata, yang memang memberi kesan kepada pesawah.
“Bab ni, kementerian ambil maklum sepenuhnya. Cuma untuk kita faham sama-sama, musim penuaian padi di Kedah baru saja bermula hujung Disember 2025.
“Setakat 26 Januari 2026, yang dituai baru sekitar 3 peratus sahaja. Maknanya, musim ini masih di peringkat awal.
“Saya telah arahkan pegawai turun padang buat libat urus. Alhamdulillah, hasilnya positif.
“Di beberapa kawasan di Kedah, kadar pemutuan padi telah menurun ke sekitar 20 peratus hingga 21 peratus, dan keadaan yang sama turut berlaku di negeri-negeri lain,” jelas beliau.
Berhubung laporan pemotongan padi yang tinggi, Mohamad berkata, siasatan mendapati ia hanyalah kes terpencil, berpunca daripada faktor kualiti padi, dan berlaku dengan persetujuan semasa timbangan.
“Walau bagaimanapun, saya nak tegaskan, kalau ada potongan yang tak munasabah, pesawah jangan diam.
“Buat laporan supaya tindakan tegas boleh diambil.
“Sejak Kerajaan MADANI mentadbir, harga lantai belian padi telah dinaikkan sebanyak dua kali dan kini ditetapkan pada RM1,500.
“Selain itu, pelbagai bantuan dan insentif turut disalurkan kepada pesawah, dengan anggaran sekitar RM4,000 bagi setiap hektar,’ ujar beliau.
Menurut Mohamad, kalau ada sebarang permohonan atau cadangan daripada petani, kerajaan sentiasa terbuka untuk dengar dan akan pertimbangkan ikut kemampuan kerajaan yang ada sekarang.
“Kalau permintaan itu munasabah dan beri kebaikan kepada pesawah, Insya Allah kita akan pertimbangkan sebaiknya.
“Cuma satu perkara penting, kalau kita benar-benar nak tingkatkan pendapatan petani, komitmen semua pihak amat-amat diperlukan bukan petani sahaja, tetapi juga kerajaan negeri, kementerian dan keseluruhan jentera kerajaan.
“Sama-sama pikul tanggungjawab, barulah hasilnya dapat dinikmati bersama.
“Insya Allah, saya dan kementerian akan terus turun padang, dengar suara pesawah dan jaga kebajikan mereka sebaik mungkin, demi memastikan keterjaminan makanan negara sentiasa terpelihara,” kata Mohamad.



