MDKP Jadi PBT Pertama Dipilih Sertai Projek Pendigitalan Audit Negara
SEREMBAN: Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP) terus melakar sejarah apabila dipilih sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama oleh Jabatan Audit Negara bagi tujuan mempelajari dan meneliti penggunaan Sistem ePBT menerusi Projek Pendigitalan Jabatan (PPJ).
Menerusi hantaran media sosial MDKP, pemilihan tersebut mencerminkan tahap keyakinan dan pengiktirafan tinggi terhadap keupayaan pihak majlis dalam melaksanakan sistem digital yang lebih sistematik, efisien dan berintegriti sekali gus memperkukuhkan tadbir urus perkhidmatan awam yang moden serta berdaya saing.
“Satu sesi perbincangan dan penyelarasan bersama Jabatan Audit Negara telah diadakan bagi mendapatkan maklumat serta data berkaitan Sistem ePBT yang digunapakai oleh PBT di Negeri Sembilan.
“Inisiatif ini bertujuan memperkasa analitik data selain memperluaskan pelaksanaan pengauditan secara digital yang lebih cekap, telus dan menyeluruh,” katanya.
Tambah MDKP, pencapaian tersebut bukan sahaja menjadi satu penghormatan kepada pihak majlis malah mencerminkan komitmen berterusan seluruh warga kerja dalam mendukung agenda pendigitalan serta memperkukuhkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
“Kami merakamkan penghargaan kepada Bahagian Teknologi Maklumat serta Bahagian Kewangan dan Hasil atas komitmen, kerjasama serta usaha berterusan dalam menjayakan sesi kerjasama strategik berkenaan” katanya.
Dalam pada itu, jalinan kerjasama bersama Jabatan Audit Negara diharap mampu menjadi pemangkin kepada transformasi digital yang lebih progresif, inovatif dan mampan demi memperkukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan awam yang lebih berkualiti kepada rakyat.



