Berita

150 Ayam Percuma Diedarkan Di Sikamat Sempena Persiapan Aidiladha

SEREMBAN: Sebanyak 150 ekor ayam diedarkan secara percuma kepada penduduk di Sikamat sempena persiapan menyambut Hari Raya Aidiladha pada Rabu ini.

Edaran ayam percuma itu dilaksanakan di Taman Sri Penaga, Sikamat.

Menurut Pegawai Khas ADUN Sikamat, Aliudin Bin Mohamed Salleh, edaran ayam percuma itu merupakan pemberian Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun kepada penduduk bagi kemudahan sebagai persiapan menjelang Aidiladha.

“Perkongsian rezeki itu diberikan oleh Aminuddin sendiri yang sememangnya mempunyai peruntukan bajet daripada Pejabat DUN Sikamat untuk penduduk di kawasan ini,” katanya.

Tambahnya, program Jualan Rahmah yang diadakan bermula jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari itu turut menawarkan pelbagai bekalan kepada penduduk termasuk daging dan tulang.

“Kita buka Jualan Rahmah pada pukul 8.30 pagi sehingga 12.30 tengah hari. Alhamdulillah, pukul 10.30 pagi ayam percuma sudah habis diedarkan,” katanya.

Menurutnya, kira-kira 300 kilogram daging dan tulang turut habis dijual kepada orang ramai dengan harga RM25 sekilogram, manakala ayam dijual pada harga RM6.50 sekilogram.

Inisiatif ini bertujuan membantu penduduk setempat membuat persiapan awal menjelang sambutan perayaan, khususnya dalam penyediaan juadah Hari Raya Aidiladha.

“Moga perkongsian rezeki ini memudahkan persiapan penduduk, khususnya dalam penyediaan juadah Hari Raya serta bekalan makanan,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button