Berita

Caj Pemajuan PBT Perlu Diselaras Lebih Teratur – Aminuddin

SEREMBAN: Kaedah penilaian serta pelaksanaan caj pemajuan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Negeri Sembilan akan diselaraskan dengan lebih teratur dan berkesan.

Melalui hantaran di media sosial, Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun, beliau telah mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Kadar Caj Pemajuan di PBT Negeri Sembilan yang berlangsung di Hotel Royal Chulan, di sini, hari ini.

Tujuan, mesyuarat itu diadakan bagi membincangkan kaedah penilaian serta pelaksanaan caj pemajuan oleh PBT di Negeri Sembilan supaya dapat diselaraskan secara lebih teratur dan berkesan.

“Beberapa perkara berkaitan pelaksanaan caj pemajuan berdasarkan Akta 172 membabitkan kawasan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) turut dibentangkan dalam mesyuarat berkenaan.

“Turut diadakan sesi perbincangan bersama jabatan dan agensi berkaitan bagi meneliti pelaksanaan serta penyelarasan kadar caj pemajuan di peringkat PBT,” katanya.

Aminuddin berkata, perancangan dan penyelarasan seperti itu amat penting bagi memastikan pembangunan negeri dapat dilaksanakan secara lebih sistematik, seimbang serta memberi manfaat kepada rakyat dan pertumbuhan ekonomi Negeri Sembilan secara keseluruhan.

“Semoga segala perbincangan dan keputusan yang dicapai dapat mempermudahkan urusan pembangunan serta memperkukuh tadbir urus pihak berkuasa tempatan di Negeri Sembilan,” katanya.

Sementara itu, mesyuarat berkenaan turut dihadiri Pengarah Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) Negeri Sembilan yang membentangkan kaedah penilaian dilaksanakan jabatan itu.

Turut hadir Pengarah Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dan Pengarah Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) bagi membentangkan pelaksanaan caj pemajuan berdasarkan Akta 172 bagi kawasan pentadbiran masing-masing.

Ini jelas menunjukkan komitmen Aminuddin dalam memperkukuh penyelarasan dasar dan pelaksanaan caj pemajuan di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) selaras dengan usaha memastikan tadbir urus pembangunan Negeri Sembilan dilaksanakan secara lebih efisien, telus dan berkesan.

Show More

Related Articles

Back to top button