KPKM Jamin Bekalan Ternakan Korban Cukup Tahun Ini

SEREMBAN: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) beri jaminan bekalan ternakan bagi sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini mencukupi untuk memenuhi keperluan semasa di seluruh negara.
Menurut KPKM, berdasarkan statistik Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) sehingga April 2026, stok bekalan lembu dan kerbau tempatan direkodkan sebanyak 35,127 ekor, manakala bekalan import pula sebanyak 16,845 ekor.
“Jumlah keseluruhan bekalan lembu dan kerbau bagi tujuan korban adalah sebanyak 51,972 ekor, sekali gus melebihi anggaran keperluan institusi seperti masjid, surau dan rumah sembelih yang dijangka mencecah 40,420 ekor.
“Bagi bekalan kambing dan bebiri pula, stok tempatan sehingga April 2026 direkodkan sebanyak 25,815 ekor manakala bekalan import sebanyak 4,232 ekor.
“Jumlah keseluruhan bekalan ternakan itu adalah sebanyak 30,047 ekor dan melebihi unjuran permintaan semasa iaitu sebanyak 22,424 ekor,” katanya.
Berdasarkan unjuran data tersebut, kementerian memberi jaminan bahawa jumlah keseluruhan bekalan ternakan dalam negara adalah mencukupi bagi menampung permintaan sembelihan untuk tujuan korban tahun ini.
“Dari aspek kesiapsiagaan infrastruktur pula, sebanyak 27 rumah sembelih milik DVS di seluruh Semenanjung Malaysia sedia beroperasi bagi tujuan penyembelihan ternakan korban.
“Selain itu, sebanyak 43 rumah sembelih swasta di seluruh Semenanjung Malaysia telah diberikan lesen oleh DVS sehingga 16 Mac 2026 bagi menawarkan perkhidmatan penyembelihan yang sah kepada masyarakat,” katanya.
Tambah KPKM, bagi aktiviti penyembelihan korban yang dijalankan di luar kawasan rumah sembelih seperti di masjid, surau, sekolah, kawasan perumahan dan tempat awam, pihak penganjur diwajibkan mengemukakan permohonan permit penyembelihan luar berserta dokumen berkaitan untuk mendapatkan kelulusan.
Mengulas lanjut, KPKM turut menyarankan orang ramai supaya merujuk Garis Panduan Penyembelihan Ternakan Korban yang dikeluarkan DVS bagi memastikan proses pelaksanaan ibadah korban berjalan lancar serta mematuhi standard ditetapkan.



