Akmal dedah kos input pertanian meningkat akibat krisis bekalan global

PUTRAJAYA: Sektor agrokomoditi negara kini berdepan tekanan besar susulan peningkatan mendadak kos input pertanian dan logistik akibat krisis bekalan global yang berterusan.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, harga baja NPK bagi kategori tempatan dan import meningkat sehingga 45.5 peratus, manakala kos racun pertanian pula melonjak sehingga 37.5 peratus.
“Gangguan rantaian bekalan dunia turut menyebabkan kos penghantaran ke Asia Barat meningkat antara 50 hingga 80 peratus selain premium risiko perang naik sehingga tiga peratus.
“Kos operasi perladangan dan penggunaan jentera meningkat antara 10 hingga 30 peratus termasuk kos penanaman semula getah yang melonjak sehingga 55 peratus.
“Selain itu, kos pengeluaran oleokimia sawit juga meningkat sehingga 30 peratus,” katanya ketika Taklimat Krisis Bekalan Global.
Susulan situasi tersebut, kerajaan mengambil beberapa langkah mitigasi bagi mengurangkan tekanan kos terhadap industri serta melindungi pendapatan pekebun kecil.
Akmal berkata, antara inisiatif dilaksanakan termasuk pemantauan kos operasi loji dan pengoptimuman kos pengeluaran selain penyaluran Bantuan BUDI Agri-Komoditi bagi membantu mengurangkan beban kos input.
“Kerajaan turut menyelaras pembelian pukal baja dan racun melalui agensi pusat bagi membolehkan petani memperoleh harga yang lebih rendah.
“Kerajaan juga menyediakan bantuan logistik termasuk kemudahan pembayaran balik levi dan ses eksport bagi kargo yang terpaksa dipulangkan semula untuk mengurangkan kerugian pengusaha.
“Dalam masa sama, penggunaan baja organik sebagai alternatif kepada baja kimia import yang lebih mahal terus diperluaskan selain penggunaan teknologi pemetaan baja Soil Nutrient Probe (SNP) dalam tanaman koko dan lada,” ujar beliau.
Akmal turut memaklumkan bahawa Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bersetuju supaya rantaian logistik sektor agrokomoditi diperkukuh menerusi kerjasama antara Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Katanya, langkah tersebut penting bagi memastikan sektor agrokomoditi negara terus berdaya tahan selain melindungi pengeluaran, kebajikan pekebun kecil, kestabilan bekalan dan daya saing eksport negara.



