MPPD Cat Semula Tapak Penjaja Sementara di Hadapan Lotus’s Lukut

PORT DICKSON: Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) menerusi Jabatan Pelesenan telah melaksanakan aktiviti mengecat semula tapak penjaja sementara di hadapan Lotus’s Lukut pada 20 Jun lalu bagi memastikan kawasan perniagaan berkenaan berada dalam keadaan teratur dan mematuhi garis panduan ditetapkan.
MPPD dalam satu kenyataan memaklumkan, kerja-kerja tersebut merupakan sebahagian daripada skop tugas Jabatan Pelesenan yang dilaksanakan oleh Pembantu Kesihatan Awam dan Pembantu Khidmat Am.
Menurut kenyataan itu, aktiviti berkenaan bertujuan memastikan lokasi yang dicadangkan untuk penjaja sementara memenuhi syarat serta peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan.
Pada masa sama, MPPD menegaskan kepentingan menjaga kebersihan kawasan perniagaan dan mengingatkan semua peniaga supaya tidak meninggalkan sebarang peralatan atau kelengkapan perniagaan di tapak selepas tamat waktu operasi.
“Langkah ini penting bagi memastikan persekitaran sentiasa teratur dan bersih, sekali gus mengekalkan imej Port Dickson sebagai salah satu destinasi pelancongan utama di Negeri Sembilan,” kata kenyataan itu.
MPPD turut berharap kerjasama berterusan daripada para peniaga dalam memastikan kawasan perniagaan awam sentiasa berada pada tahap kebersihan dan kekemasan yang baik demi keselesaan pengunjung serta masyarakat setempat.



