BeritaProgram

94 Graduan TVET Terima Biasiswa Penuh RM700,000, Aminuddin Galak Anak Negeri Rebut Peluang Pekerjaan

SEREMBAN: Seramai 94 graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Kolej Yayasan Negeri Sembilan menerima manfaat hapuskira pinjaman boleh ubah kepada biasiswa penuh dengan nilai keseluruhan hampir RM700,000.

Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun, inisiatif itu membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan pendidikan dan latihan kemahiran dapat diakses oleh rakyat tanpa dibatasi kekangan kewangan.

“Pendidikan bukan sekadar satu perbelanjaan sebaliknya merupakan pelaburan terbesar sesebuah kerajaan bagi membina masa depan rakyat dan negeri.

“Apabila hasil negeri meningkat, Kerajaan Negeri memilih untuk mengembalikan hasil tersebut kepada rakyat melalui pendidikan, latihan kemahiran dan pembangunan modal insan.

“Kejayaan sesebuah kerajaan tidak boleh diukur semata-mata melalui jumlah wang yang disimpan, tetapi sejauh mana hasil yang diperoleh dapat diterjemahkan kepada peluang pendidikan, peluang pekerjaan dan kehidupan yang lebih baik untuk rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Graduan TVET MADANI Negeri Sembilan dan Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Strategik Kolej Yayasan Negeri Sembilan di Klana Resort Seremban, di sini.

Aminuddin berkata, pencapaian graduan berkenaan membuktikan bahawa pendidikan TVET mampu melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang menjadi aset penting kepada negeri dan negara.

“Peruntukan hampir RM700,000 yang disalurkan kepada 94 graduan TVET bukan sekadar angka atau statistik untuk diumumkan. Ini adalah bukti bahawa Kerajaan Negeri sentiasa berusaha memastikan tiada anak Negeri Sembilan yang tercicir daripada mendapatkan pendidikan hanya kerana kekangan kewangan.

“Negeri Sembilan kini berada dalam fasa pembangunan ekonomi yang memberangsangkan dengan pertumbuhan sektor pembuatan berteknologi tinggi, logistik, automotif, elektronik, ekonomi digital, tenaga boleh baharu serta industri halal” katanya.

Menurutnya, perkembangan itu dijangka mewujudkan ribuan peluang pekerjaan baharu sekali gus meningkatkan keperluan terhadap tenaga kerja mahir yang berkualiti.

“Apabila pelabur datang, kilang akan dibuka. Apabila kilang dibuka, peluang pekerjaan akan diwujudkan. Apabila peluang pekerjaan diwujudkan, anak-anak Negeri Sembilan mesti menjadi pilihan utama untuk mengisi peluang tersebut.

“Sebab itulah Kerajaan Negeri memberi tumpuan yang besar kepada pembangunan TVET supaya peluang pekerjaan yang diwujudkan hasil kemasukan pelaburan ini dapat dinikmati oleh rakyat Negeri Sembilan sendiri,” katanya.

Aminuddin yakin kerjasama strategik antara Yayasan Negeri Sembilan, Kolej Yayasan Negeri Sembilan, Negeri Sembilan Skills Development Centre (NSSDC), Unit Pembangunan Ekonomi Negeri Modal Insan dan NS Invest menerusi platform Taskforce TVET Negeri Sembilan mampu menyediakan latihan kemahiran yang memenuhi keperluan industri semasa.

Pada majlis sama, turut berlangsung pemeteraian memorandum persefahaman antara SRC Global dan Negeri Sembilan E-Sport Association (NSEA) selain pelantikan lima sekolah di bawah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan sebagai sekolah angkat Kolej Yayasan Negeri Sembilan.

Lima sekolah berkenaan ialah SMK Pasoh 2, SMK Dato’ Syeikh Ahmad, SMK Tunku Abdul Rahman, SMK Serting Hilir dan SMK Dato’ Undang Haji Adnan.

Menurut Aminuddin, kerjasama tersebut akan membuka lebih banyak peluang latihan kemahiran kepada anak-anak Negeri Sembilan khususnya dalam bidang scaffolding, welding dan e-sukan, yang dilihat mempunyai permintaan tinggi dalam pasaran pekerjaan semasa.

“Langkah ini juga mampu memberi pendedahan awal kepada pelajar sekolah terhadap bidang kemahiran sekali gus membantu mereka merancang laluan pendidikan dan kerjaya yang lebih jelas pada masa hadapan” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button