Berita

MYKiosk inisiatif KPKT perkasa ekonomi peniaga kecil

SEREMBAN: Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J.Arul Kumar menyelar beberapa ‘pemfitnah’ dari MCA yang telah membuat beberapa ‘content’ untuk memburukkan Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kerajaan MADANI dalam isu MyKiosk serta melabelkan salah guna kuasa dan dana kerajaan.

“Dalam penjelasan di bawah ini telah dinyatakan dengan lebih terperinci berkaitan MyKiosk oleh KPKT Malaysia.

“Semua perolehan dan pengisian MyKiosk ini dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan dan bukannya KPKT atau menteri.

“Lebih daripada 60 peratus MyKiosk ini telah pun diisi dan ramai peniaga mendapat sumber pendapatan yang baik.

“Tetapi ada juga beberapa kelemahan yang perlu ditambahbaik.

“Ini bukan bermaksud insiatif ini semuanya gagal,” jelas Arul Kumar.

LATAR BELAKANG

Pada awal bulan Ogos tahun 2022, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melaksanakan libat urus bagi mendapatkan idea memperkasa ekonomi peniaga-peniaga kecil.

Hasil daripada sesi libat urus tersebut telah dimurnikan pada banyak peringkat sebelum diangkat kepada Kementerian Kewangan bagi permohonan bajet di bawah Belanjawan Tahun 2023 pada 30 Ogos 2022.

SAMBUTAN PENIAGA

Sambutan terhadap MyKiosk 1.0 agak baik dengan kadar pengisian kiosk sebanyak 84.35 peratus.

Angka ini membuktikan ia memenuhi keperluan sebenar peniaga dan mendorong pelaksanaan MyKiosk 2.0.

Kini, MyKiosk 2.0 yang dilaksanakan sejak 4 bulan yang lalu telah menunjukkan pengisian sebanyak 61.5 peratus.

KOS

Kos satu unit MyKiosk 1.0 adalah sebanyak RM15,000 bagi satu unit.

Ia dilengkapi dengan kapasiti tenaga solar yang sesuai untuk kegunaan peranti elektrik yang kecil seperti pengecas telefon dan kipas mudah alih untuk memberi keselesaan kepada peniaga.

Selepas melihat sambutan yang diberikan beserta maklum balas yang diterima, KPKT meneruskan projek MyKiosk 2.0 dengan beberapa penambahbaikan kepada fizikal kiosk berkenaan melibatkan spesifikasi reka bentuk yang lebih mesra pengguna dengan tenaga solar pada kapasiti yang lebih besar dan peningkatan sistem elektrikal seperti Lampu LED.

Selaras dengan penambahbaikan ini, kos bagi MyKiosk 2.0 adalah RM25,000.

Walau bagaimanapun, kadar sewaan tetap rendah iaitu tidak melebihi RM300 sebulan dan peniaga diberikan pengecualian bayaran sewa bagi tempoh enam bulan pertama.

PEROLEHAN

Urusan perolehan sepenuhnya dijalankan di peringkat PBT melibatkan proses sebut harga yang jelas dan teratur.

PBT adalah pihak yang bertanggungjawab melaksanakan pemilihan dan pelantikan kontraktor serta pemantauan kualiti kiosk.

MyKiosk ini boleh dipindahkan ke lokasi yang bersesuaian bergantung kepada keperluan PBT di kawasan pentadbiran masing-masing.

Pemilihan syarikat oleh PBT adalah berdasarkan kriteria seperti kontraktor yang berdaftar dengan CIDB Gred G1 dan G2 yang dilantik melalui sebut harga terbuka.

Sebanyak 349 kontraktor telah dilantik oleh 114 PBT di seluruh negara bagi MyKiosk 1.0.

Manakala sebanyak 446 kontraktor telah dilantik oleh 96 PBT untuk pelaksanaan projek ini.

Show More

Related Articles

Back to top button