Negeri Sembilan anjur Mantai Raya Perdana serentak 36 DUN, daging diskaun RM3 sekilo
SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan akan menganjurkan Program Mantai Raya Perdana secara serentak di semua 36 Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula 18 Mac ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun berkata, sebanyak 100 kilogram (kg) daging percuma akan diagihkan kepada golongan asnaf dan kurang berkemampuan di setiap DUN, menjadikan keseluruhan 3,600 kg.
Menurutnya, kerajaan negeri turut menyediakan 18,000 kg daging bersubsidi yang akan dijual pada harga diskaun RM3 sekilogram daripada harga pasaran.
“Setiap individu dihadkan pembelian kepada dua kilogram sahaja dan setiap DUN diperuntukkan sebanyak 500 kg daging bersubsidi,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini.
Bagaimanapun, Aminuddin memaklumkan harga jualan sebenar daging bagi program berkenaan masih belum dimuktamadkan kerana bergantung kepada pembekal serta sambutan orang ramai.




