BeritaMenarik

Negeri Sembilan johan Mahrajan Al-Quran Sekolah-Sekolah Peringkat Kebangsaan

SEREMBAN: Kontingen Negeri Sembilan berjaya membawa pulang kejayaan dan dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan Sekolah Rendah, Johan Keseluruhan Sekolah Menengah dan buat julung kalinya muncul sebagai johan Mahrajan Al-Quran Sekolah-Sekolah (MQSS) Tahun 2024 di peringkat Kebangsaan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, untuk MQSS Tahun 2024, SBPI Gopeng telah diamanahkan sebagai sekolah pengelola dan sebanyak 17 acara telah dipertandingkan, semuanya berkaitan dengan Al-Quran, hafazan, Qiraat, Tahfiz, kuiz Ilmu Wahyu dan sebagainya.

“Pencapaian cemerlang ini tidak mungkin dapat diraih tanpa berkat doa, usaha dan sokongan daripada semua pihak khususnya dorongan daripada ibu bapa.

“Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada anak-anak mengharumkan nama Negeri Sembilan.

“Kejayaan yang dikecapi ini adalah usaha dan keazaman yang tidak berbelah bahagi.

“Saya berharap agar kita semua akan terus bekerjasama bagi mengekalkan kejuaraan ini, malah melangkah lebih jauh dengan usaha yang lebih giat dan terancang,” kata beliau.

Aminuddin berkata demikian di Majlis Kecemerlangan Mahrajan Al-Quran Sekolah-Sekolah (MQSS) Tahun 2024 di Klana Resort, Seremban.

“Majlis ini diadakan bagi menghargai terhadap usaha dan kecemerlangan anak-anak dalam menghayati serta mendalami keindahan Al-Quran,” ujar Aminuddin.

 

Show More

Related Articles

Back to top button