Berita

Presiden PHNS Ucap Tahniah, Skuad Hoki Wanita Negeri Sembilan Bakal Terima Insentif

SEREMBAN: Skuad hoki wanita Negeri Sembilan bakal menerima insentif daripada Persatuan Hoki Negeri Sembilan (PHNS) selepas dinobatkan selaku juara Liga Hoki Wanita Malaysia (LHWM) MHL-TNB 2026.

Menurut Menteri Besar merangkap Presiden PHNS, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun, prestasi cemerlang yang dipamerkan skuad bimbingan Shaiful Azli Abd Rahman ketika menewaskan Terengganu 6-0 dalam perlawanan terakhir liga semalam jelas membuktikan kecemerlangan ketara pasukan itu sekali gus mengesahkan kejuaraan musim ini.

“Saya ucapkan tahniah kepada pasukan hoki wanita Negeri Sembilan kerana memenangi satu lagi trofi iaitu juara liga selepas sebelum ini mereka memenangi Piala Sumbangsih,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Wisma Negeri, di sini hari ini.

Aminuddin berkata pencapaian itu amat membanggakan apabila skuad berkenaan bukan sahaja muncul juara liga, malah berjaya menamatkan saingan tanpa melepaskan sebarang gol sepanjang musim.

“Selaku Presiden PHNS, saya ucapkan tahniah dan Alhamdulillah, saya amat berpuas hati dengan pencapaian pasukan ini setakat ini dan mahukan mereka terus kekalkan prestasi terbaik itu untuk memenangi trofi utama nanti.

“Kita (PHNS) akan menyediakan insentif yang baik kepada pasukan ini, namun seperti yang saya nyatakan kepada pasukan tempoh hari, apa juga bentuk dan jumlah insentif hanya akan diumumkan selepas mereka berjaya merangkul semua kejuaraan,” katanya.

Mengulas lanjut, kejayaan Hoki Wanita turut mencerminkan kesungguhan dan komitmen tinggi ditunjukkan para pemain sepanjang saingan musim ini.

“Kini kita tinggal satu lagi trofi yang perlu direalisasikan iaitu Piala Vivian May Soars dan saya berharap pemain Negeri Sembilan terus berusaha mengekalkan prestasi terbaik bagi memenangi kesemua trofi yang dipertandingkan,” katanya.

Dalam pada itu, Negeri Sembilan turut menyasarkan kejuaraan treble LHWM musim ini sekali gus mengulangi pencapaian pada musim 2023.

Skuad berkenaan akan turun beraksi pada separuh akhir Piala Vivian May Soars esok namun perlu menanti keputusan pertemuan antara Territory Stingers dan PKS UNITEN bagi menentukan lawan di peringkat tersebut.

Show More

Related Articles

Back to top button