BeritaMenarik

Negeri Sembilan kelapan terbaik sebagai destinasi pelaburan

SEREMBAN: Negeri Sembilan berada pada kedudukan kelapan terbaik dalam prestasi pelaburan bagi tahun 2023; selepas Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Kedah, Sarawak dan Sabah.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, Negeri Sembilan mencatatkan pelaburan tertinggi yang pernah direkodkan sebanyak RM10.1 bilion bagi tahun lepas.

“Angka ini mengatasi apa yang disasarkan serta merekodkan pencapaian tertinggi dalam sejarah pentadbiran negeri ini, melebihi rekod tertinggi yang pernah dicatatkan sebelum ini pada tahun 2022, sebanyak RM8.9 bilion.

“Kerajaan Negeri berasa amat bangga dengan pencapaian ini kerana berjaya melepasi sasaran RM7 bilion yang ditetapkan bagi tahun 2023.

“Pelaburan ini menawarkan 3,250 peluang pekerjaan baharu,” kata Aminuddin di Sidang Media Prestasi Pelaburan Negeri Sembilan 2023 di Klana Resort.

Menurutnya, Negeri Sembilan telah menerima RM6.04 bilion jumlah pelaburan asing (Foreign Direct Investment-FDI) bagi tahun 2023 dan tiga negara penyumbang terbesar adalah Sweden, China dan Jepun.

“Lebih membanggakan Negeri Sembilan merekodkan penerimaan pelaburan domestik terbaik yang pernah dicatatkan iaitu sebanyak RM4.05 bilion bagi sektor pembuatan dan perkhidmatan.

“Secara keseluruhannya, boleh disimpulkan bahawa pelaburan yang dibawa masuk telah memberi nilai yang lebih baik kepada ekonomi Negeri Sembilan khususnya dengan pelaburan ke arah teknologi tinggi,” ujar Aminuddin.

Show More

Related Articles

Back to top button