BeritaMenarik

Port Dickson antara bandar paling bahagia di Malaysia

SEREMBAN: Bandar Port Dickson diiktiraf sebagai antara 10 Bandar Paling Bahagia 2023 di Malaysia sempena Sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia pada 20 Mac setiap tahun.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, ini satu pengiktirafan kepada rakyat Port Dickson.

“Menariknya Port Dickson merupakan kawasan yang majmuk dengan komposisi penduduk Melayu dan Bukan Melayu berperatusan lebih kurang 50/50.

“Dalam keadaan kita bercampur gaul itu juga, ada perasaan saling hormat menghormati dan ini satu pengiktirafan yang sangat baik.

“Indeks kebahagian merupakan pengukuran umum terhadap tahap kesejahteraan penduduk merangkumi aspek kesihatan dan kesejahteraan mental dan fizikal,” kata Aminuddin di Sidang Media Prestasi Pelaburan Negeri Sembilan 2023 di Klana Resort.

Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, antara aspek utama yang menyumbangkan kepada tahap kebahagian adalah berkait rapat dengan tahap dan kualiti perkhidmatan yang diberikan PBT seperti penjagaan kebersihan persekitaran, pengurusan sisa pepejal dan kutipan sampah yang berkesan dan teratur.

Turut tersenarai adalah bandar Cameron Highlands, Pahang; Bandar Jeli, Kelantan; Bandar Jerantut, Pahang; Bandaraya Kuala Terengganu, Terengganu; Bandar Kulai, Johor; Bandar Lenggong, Perak; Bandaraya Melaka Bersejarah, Melaka; Bandaraya Petaling Jaya, Selangor dan Bandar Rompin, Pahang yang dipilih sebagai bandar paling bahagia melalui Kajian Indeks Kebahagiaan Malaysia 2023 yang dijalankan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa.

Show More

Related Articles

Back to top button