SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan telah memperuntukkan lebih RM10 juta dalam dana Asnaf Mualaf bagi tahun 2024.
Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, peruntukan ini adalah bukti komitmen Kerajaan Negeri dalam membantu mualaf melalui pelbagai inisiatif, termasuk penggunaan dana zakat dari Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).
“Saya yakin dan percaya bahawa bantuan ini akan memberikan impak yang positif kepada kehidupan mualaf di negeri ini.
“Zakat dan wakaf merupakan elemen penting dalam memperkasakan ekonomi umat Islam.
“Justeru itu, saya ingin menggalakkan penjawat awam khususnya dan semua rakyat negeri ini untuk berzakat dan berwakaf.
“Tindakan ini bukan sahaja membantu mereka yang memerlukan, tetapi juga memperkukuh jaringan sosio ekonomi dalam masyarakat kita.
“Kini hampir semua perkara boleh diselesaikan dihujung jari sahaja, dunia semakin berubah dan zakat boleh dibayar melalui pelbagai saluran pembayaran seperti potongan gaji, pembayaran atas talian serta melalui kaedah QR pay,” ujar beliau.
Aminuddin berkata demikian di Konvensyen Mualaf Peringkat Kebangsaan 2024 di Royal Chulan, Seremban.
Dalam pada itu, Aminuddin berkata, Kerajaan Negeri menyokong penuh penganjuran konvensyen ini dan berharap agar pelaksanaannya dapat diteruskan dengan lebih banyak pengisian serta aktiviti berimpak tinggi dalam meningkatkan daya saing serta kualiti kehidupan golongan mualaf di negeri beradat ini.
“Saya turut mengambil maklum tentang peranan Jawatankuasa Hal Ehwal Mualaf Negeri Sembilan dalam menguruskan zakat asnaf mualaf dan memastikan segala bantuan diterima oleh mereka yang memerlukan.
“Saya berharap agar seluruh jawatankuasa bertekad untuk terus berusaha dalam meningkatkan taraf hidup mualaf di negeri ini dari segi pengurusan hidup, pendidikan, ekonomi, psikologi dan sosial,” ulas beliau.
Aminuddin berkata, tanggungjawab dakwah masa kini bukanlah hanya di pundak agensi agama semata-mata bahkan menjadi peranan semua umat Islam khususnya di negeri ini.
“Keutamaan yang perlu ditingkatkan ialah peranan semua pihak dalam memberi pendidikan kepada mualaf dengan lebih kreatif dan berkesan.
“Pihak jawatankuasa masjid dan surau, pemimpin masyarakat serta agensi-agensi kerajaan yang terlibat perlulah memberi komitmen yang padu dan jitu agar golongan mualaf di negeri ini tidak tercicir daripada menerima pendidikan yang lebih berkualiti dalam mendepani kehidupan sebagai muslim.
“Dalam masa yang sama, fokus hendaklah diberikan kepada pengumpulan dan analisis data mengenai generasi keluarga mualaf.
“Dengan maklumat dan perincian data yang tepat, kita akan dapat merancang program dan gerak kerja yang lebih berkesan untuk meningkatkan kualiti kehidupan mereka khususnya anak-anak mualaf serta saudara bukan Islam di persekitaran mereka.
“Kini terdapat mualaf di Negeri Sembilan yang bertaraf pendidikan dari Ijazah Sarjana Muda sehingga PhD.
“Insya Allah, mereka yang berpendidikan dan memahami Islam boleh menjalinkan kerjasama dalam membantu kerja-kerja dakwah di negeri ini,” jelas Aminuddin.