Berita

Negeri Sembilan raih pelaburan RM7.25 bilion

SEREMBAN: Negeri Sembilan berjaya meraih jumlah pelaburan sebanyak RM7.25 bilion pada tahun 2024; dengan 208 projek diluluskan meliputi sektor pembuatan, perkhidmatan dan sektor utama dari pelbagai kementerian.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, jumlah pelaburan asing pada tahun 2024 adalah sebanyak RM3.4 bilion bersamaan 46.9 peratus daripada jumlah pelaburan keseluruhan.

Antara projek-projek pelaburan asing yang berteknologi tinggi menyumbang terhadap jumlah pelaburan tersebut adalah:

a) Projek pembesaran Safran Landing Systems (RM 0.65 bilion) – Perancis
b) Projek baru Fraser and Neave (RM 1.8 bilion) – Amerika Syarikat /Singapura
c) Projek baru AntMed Malaysia (RM 0.7 bilion) – China
d) Projek baru MyNAFCO Malaysia (RM 0.3 bilion) – Taiwan
e) Projek pembesaran Shin Heung Sec (RM 0.1 bilion) – Korea Selatan

“Sepanjang tempoh 2019 sehingga Disember 2024, jumlah keseluruhan pelaburan asing di Negeri Sembilan yang diluluskan dalam pelbagai sektor ekonomi adalah sebanyak RM24.1 bilion.

“Bagi menjawab persoalan jumlah pelaburan daripada bulan Januari hingga Februari 2025, dukacita dimaklumkan bahawa data rasmi daripada pihak MIDA masih belum diumumkan lagi.

“Dijangka data pelaburan bagi suku pertama 2025 akan diumumkan pada bulan Mei tahun ini.

“Walau bagaimanapun, berdasarkan kepada rekod kelulusan projek daripada Invest NS, bagi tempoh Januari hingga Februari 2025, sebanyak enam projek telah diluluskan dengan anggaran jumlah pelaburan sebanyak RM 1.505 bilion.

“Daripada jumlah tersebut, empat projek merupakan pelaburan asing iaitu dari On Semiconductor (Amerika Syarikat), T. Hasegawa Flavour dan Medijoy dari Jepun serta In Win Asia dari Taiwan,” kata Aminuddin.

Menurut Aminuddin, berdasarkan rekod MIDA, hasil tarikan pelaburan sepanjang tahun 2024 berjaya mencipta sebanyak 4,684 peluang pekerjaan baharu.

“Jumlah ini adalah melebihi berbanding tahun 2023 yang menawarkan 3,250 peluang pekerjaan.

“Secara spesifiknya bagi peluang kepada warga tempatan, merujuk kepada data bagi sektor pengilangan dibawah seliaan MIDA, didapati bahawa jumlah pertambahan guna tenaga tempatan oleh syarikat/projek pelabur asing bagi tahun 2024 berbanding tahun 2023 adalah sebanyak 567 orang dengan 1,627 guna tenaga tempatan bagi tahun 2023 dan 2,194 guna tenaga tempatan bagi tahun 2024,” ujar Aminuddin.

Aminuddin berkata demikian bagi menjawab soalan ADUN Rantau, Dato’ Seri Mohamad Hasan (BN), yang diwakili ADUN Jeram Padang, Dato’ Mohd Zaidy Abdul Kadir (BN) di Persidangan Pertama Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri Ke-15.

Mohamad meminta dinyatakan jumlah pelaburan langsung pelaburan asing di negeri ini sehingga Disember 2024 dan Januari hingga Februari 2025 dan berapakah jumlah pertambahan guna tenaga tempatan dalam syarikat pelabur asing ini.

Show More

Related Articles

Back to top button