SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan mensasarkan hasil pendapatan RM1 bilion untuk tempoh lima tahun akan datang.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, selari dengan hasrat tersebut, seluruh penjawat awam perlu memastikan setiap rancangan yang disediakan sentiasa berada dalam garis masa gerak kerja yang ditetapkan.
“Perkhidmatan kita kepada rakyat juga perlu lebih cekap dan berkesan.
“Pendekatan proaktif dan responsif semestinya akan memacu kepada keberkesanan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.
“Setiap inisiatif yang kita tawarkan kepada rakyat, wajib disampaikan dalam semua platform media jabatan dan agensi.
“Tidak ada lagi rugutan yang perlu kita dengar dari rakyat di bawah yang masih tidak tahu apa-apa informasi tentang usaha pihak kerajaan.
‘Pastikan semua medium media jabatan dan agensi digerakkan.
“Begitu juga setiap informasi yang berkaitan dengan tanggungjawab rakyat kepada pihak kerajaan,” katanya.
Aminuddin berkata, Kerajaan Negeri Sembilan sentiasa menghargai sumbangan penjawat awam.
“Oleh itu, kenaikan gaji menerusi Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dan pengumuman Bantuan Khas Kewangan baru-baru ini adalah tanda penghargaan dan inisiatif ini diharap dapat menjadi motivasi dan dorongan kepada semua untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.
‘Namun, saya ingin mengingatkan bahawa insentif ini datang dengan tanggungjawab yang lebih besar agar kita terus berusaha meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan awam demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat Negeri Sembilan.
“Saya meletakkan harapan agar penjawat awam Negeri Sembilan dapat melakukan perubahan seiring dengan insentif yang diberikan.
“Perlu bekerja lebih tekun dan bersedia melakukan reformasi pada diri serta sentiasa cakna terhadap keadaan sekeliling agar dapat disesuaikan mengikut keperluan semasa,” ujar beliau.
Aminuddin menambah, penjawat awam perlu sentiasa ingat, bahawa kekuatan perkhidmatan kerajaan adalah rakyat.
“Rakyat yang sentiasa mendukung segala perancangan dan perkhidmatan di semua peringkat sehingga memungkinkan kita menikmati pelbagai pencapaian pada hari ini.
“Justeru, sebagai tanda penghargaan kita perlu memberikan khidmat yang berkualiti, efisien dan cekap.
“Setiap keputusan hendaklah dirancang sebaiknya dan mengambil kira pelbagai perkara agar tidak memberi kesan di masa akan datang.
“Kegagalan kita dalam merancang akan menyebabkan Kerajaan terpaksa menanggung kerugian seperti sebelum ini,” jelas Aminuddin.
Menurut Aminuddin, kegagalan pada hari ini kesannya akan dirasai dan ditanggung oleh generasi akan datang serta menyebabkan kerugian kepada negeri dan rakyat.
“Keputusan yang dibuat perlu dirancang lebih awal dan segera bagi memastikan kita menjadi antara negeri yang menjadi pilihan dan keutamaan kerana cekap, cepat dan tepat.
“Kelewatan dan sikap sambil lewa serta tidak mengambil tahu akan menyebabkan pembangunan negeri ini terbantut dan menyebabkan kerugian di masa hadapan.
“Jadikan permulaan 2025 ini dengan tekad dan azam untuk menjadi warga penjawat awam yang sentiasa bertanggungjawab dan meletakkan kerja yang dilaksanakan sebagai keutamaan dalam kehidupan seharian,” ulas beliau lagi.