SEREMBAN: Kerajaan Negeri melalui Jabatan Mufti Negeri Sembilan telah mengambil tindakan membincang dan membawa isu GISB Holding dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa (MJKF) bil.7/2024 pada 27-29 September 2024 yang lalu.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun (Sikamat-PH) berkata, berdasarkan hujah dan pandangan ahli MJKF bersetuju memutuskan bahawa ajaran yang dibawa Nasiruddin (pemimpin GISB) adalah sama dengan ajaran al-Arqam dan Rufaqa’ mengenai Aurad Muhammadiah yang telah diharamkan.
“Muzakarah juga menegaskan bahawa ajaran al-Arqam yang diwartakan pada 2016 boleh dijadikan asas kepada penguatkuasaan ke atas sebarang usaha untuk menghidupkan kembali ajaran al-Arqam atau seumpamanya walaupun atas nama yang berlainan.
“Jabatan Mufti juga sentiasa menyebarkan maklumat mengenai kumpulan-kumpulan ajaran sesat yang telah difatwakan melalui program-program Jabatan Mufti di peringkat Daerah,” ujar beliau.
Aminuddin menambah, pihak PDRM Kontinjen Negeri Sembilan telah membuka 12 kertas siasatan terhadap GISBH di mana daripada 12 kertas siasatan tersebut hanya tujuh kertas siasatan telah dituduh di mahkamah manakala lima masih lagi menunggu arahan lanjut daripada Jabatan Peguam Negara.
“Pihak polis akan terus memantau dan mengambil tindakan terhadap apa jua pelanggaran undang-undang yang dilakukan oleh pihak GISBH dan juga syarikat-syarikat yang ada kaitan dengan pihak GISBH.
“Kerajaan Negeri melalui pihak JHEAINS komited untuk mengambil tindakan berdasarkan peruntukan di bawah Enakmen Syariah ke atas mana-mana pihak yang didapati melanggar apa-apa keputusan fatwa Negeri Sembilan termasuk mengamalkan ajaran ‘Aurad Muhammadiyah’ yang telah difatwakan sesat pada 2016,” ulas beliau lagi.
Aminuddin berkata demikian bagi menjawab pertanyaan ADUN Klawang, Dato’ Ir.Bakri Sawir (PH) pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-15 di Seremban.
Menurut Aminuddin, Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS telah menjalankan pemeriksaan di dua buah madrasah di bawah pentadbiran GISBH iaitu Madrasah Dinul Hayah Ulu Beting Kuala Pilah dan Madrasah Hayatul Islam Kg Senama Rembau.
“Hasil pemeriksaan, tindakan penutupan di bawah Seksyen 25c Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam (Negeri Sembilan) telah dilaksanakan ke atas kedua-dua madrasah tersebut.
“Manakala empat orang yang disyaki (OYDS) telah ditahan dalam pemeriksaan tersebut.
“OYDS ditahan terdiri daripada Pengerusi dan Mudir Madrasah Dinul Hayah, Ulu Beting, Kuala Pilah serta Mudir dan Timbalan Mudir Madrasah Hayatul Islam, Kampung Senama, Rembau,” jelas Aminuddin.
Penahanan dan siasatan ke atas empat OYDS tersebut adalah di bawah seksyen kesalahan:
1. Seksyen 22 Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam (Negeri Sembilan) 1996 iaitu di atas kesalahan menubuhkan, menguruskan atau mengendalikan Sekolah Islam tanpa Perakuan Pendaftaran atau bertindak dengan melanggar Enakmen ini atau mana-mana kaedah yang dibuat dibawahnya yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM 2,000 atau penjara tidak lebih daripada satu tahun atau kedua-duanya sekali.
2. Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 Pindaan 2019 iaitu Perbuatan Atau Ajaran Salah yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM 5,000 atau penjara 3 tahun atau kedua-duanya sekali
3. Seksyen 53 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 Pindaan 2019 iaitu Mengajar Agama Tanpa Tauliah yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 2 tahun atau dendat tidak melebihi RM 3,000 ringgit.
Kedua-dua OYDS dilepaskan dengan bon jaminan Mahkamah dan tarikh sebutan kes ditetapkan pada 12hb. November 2024 di Mahkamah Syariah Seremban, Sendayan
Program Pemulihan Aqidah/Rehabilitasi telah dilaksanakan bermula seawal 15 Oktober 2024 kepada ahli GISBH yang sukarela menyertainya.
Penyelaras Program adalah Majlis Keselamatan Negeri, Negeri Sembilan (MKN).
Modul yang akan digunakan disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan JHEAINS bertanggungjawab sebagai urusetia pendaftaran.