BeritaMenarik

Negeri Sembilan nak tanam pokok kelapa laut?

SEREMBAN: Pokok kelapa laut (Lodoicea maldivica) dari segi agronomi memerlukan keadaan persekitaran yang sangat khusus untuk pertumbuhan yang sihat.

EXCO (Kanan) Kemajuan Desa, Perladangan dan Komoditi Negeri Sembilan, Dato’ Seri Jalaluddin Alias (Pertang-BN) berkata, habitat semula jadinya di Seychelles menawarkan tanah berpasir yang kaya dengan bahan organik serta iklim tropika yang konsisten, yang ketara perbezaannya di Malaysia iaitu beriklim tropika yang hangat dan lembap.

“Pokok ini juga tumbuh dengan perlahan, mengambil masa puluhan tahun untuk mencapai kematangan, dan memerlukan kawasan yang luas bagi sistem akarnya.

“Keperluan agronomi ini menjadikan pokok kelapa laut kurang sesuai untuk penanaman meluas di negara ini.

“Selain itu, pokok kelapa laut dilindungi di bawah Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam atau dengan izin, Convention on International Trade in Endangered Species of Wild Fauna and Flora (CITES) yang juga dikenali sebagai Konvensyen Washington sebagai spesies yang terancam,” jelas beliau.

Menurut Jalaluddin, sebarang usaha penanaman atau pemindahan spesies ini dari habitat asalnya memerlukan kelulusan ketat dan pengawasan antarabangsa untuk memastikan keseimbangan ekologi.

“Oleh itu, kita memilih untuk menyokong pemuliharaan spesies ini di habitat asalnya di Seychelles serta meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan perlindungan spesies terancam.

“Pendekatan ini selaras dengan komitmen kita terhadap kelestarian alam sekitar dan pemuliharaan biodiversiti global, selain menghormati perundangan antarabangsa.

“Kelapa laut ialah sejenis buah daripada pokok kelapa laut iaitu jenis palma yang mudah hidup dan dijaga serta mempunyai nilai komersial yang tinggi,” ujarnya yang juga EXCO (Kanan) Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup.

Jalaluddin berkata demikian semasa menjawab pertanyaan lisan ADUN Seremban Jaya, P.Gunasekaren (PH) pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-15 di Seremban.

Gunasekaren bertanya adakah sebarang cadangan bagi menanam pokok kelapa laut di taman perumahan dan kawasan perindustrian bagi menggantikan pokok-pokok yang berisiko yang mengundang bahaya pada masa akan datang.

“Jika ada, adakah ianya juga akan ditanam secara meluas kerana pokok kelapa laut mempunyai nilai komersial yang tinggi? tanya Gunasekaren.

Show More

Related Articles

Back to top button