BeritaMenarik

Negeri Sembilan tidak benarkan pekerja asing tinggal di kawasan kediaman

SEREMBAN: Kerajaan Negeri telah membuat keputusan bahawa tidak lagi membenarkan pekerja warga asing ditempatkan di mana-mana kawasan berstatus kediaman dan diberikan tempoh sehingga hujung tahun ini.

Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan, YB J.Arul Kumar berkata, sehingga tempoh tersebut semua kediaman yang dijadikan sebagai kediaman pekerja asing akan dibuat pemutihan untuk membolehkan tempat penginapan tersebut mendapatkan Perakuan Penginapan dari Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

“Sebelum tempoh ini tamat semua pekerja asing yang ditempatkan di kawasan berstatus kediaman perlu dipindahkan ke kawasan komersial atau Pusat Penempatan Pekerja Asing (Centralised Labour Quarter – CLQ).

“Oleh itu, pembinaan atau pertukaran secara keseluruhan sesuatu bangunan kepada CLQ mengikut syarat-syarat yang ditetapkan adalah digalakkan oleh Kerajaan Negeri.

“CLQ ini mestilah suatu kawasan yang berpagar dan dapat dikawal serta mempunyai semua kemudahan asas kepada pekerja warga asing.

“Dengan pelaksanaan tindakan ini, isu yang berpunca daripada pekerja warga asing di kawasan perumahan seperti gangguan dan kebersihan dapat diselesaikan,” kata Arul Kumar.

Arul Kumar berkata, selain daripada itu, CLQ juga perlu mematuhi semua syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Tenaga Kerja.

“Ini juga akan menjamin hak setiap pekerja warga asing dalam mendapatkan tempat tinggal yang selesa dan selamat.

“Kerajaan Negeri juga akan cuba untuk membantu dalam pelbagai aspek dalam mewujudkan CLQ di Negeri Sembilan bagi menampung keperluan tempat penginapan pekerja warga asing,” ujar beliau lagi.

Arul Kumar berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Pusat Penempatan Pekerja Asing atau dikenali sebagai ‘Centralised Labour Quarter’ (CLQ) Lodge Residence di Bandar Baru Nilai.

CLQ ini mempunyai hampir 1,000 unit bilik dan boleh menempatkan 3,500 pekerja.

Lawatan ini bertujuan untuk melihat beberapa masalah dan cabaran dalam mendapatkan kelulusan pihak berkuasa tempatan sebagai CLQ.

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button