Berita

Nenek kepada empat cucu curi perhatian di pusat mengundi

RAHANG: Norazni Mansor, 62, nenek kepada empat orang cucu mencuri perhatian di Pusat Mengundi Pejabat Risda, DUN Rahang.

Beliau membawa empat orang cucu yang masih kecil ke pusat mengundi bagi menunaikan tanggungjawab beliau sebagai pengundi DUN Rahang.

“Sebenarnya anak saya bekerja hari ini, maka saya terpaksa bawa kesemua cucu saya ke pusat mengundi.

“Sebagai rakyat Malaysia ini adalah tugas kita untuk melaksanakan kewajiban sebagai pengundi.

“Sebab itu saya sanggup korban masa dan tenaga untuk mengundi pada hari ini,” kata beliau.

Seorang lagi pengundi Loh Sau Lan, 82, turut menyatakan pendirian yang sama apabila ditemubual.

Sau Lan yang merupakan seorang OKU dibawa ke pusat mengundi dengan kerusi roda oleh cucunya.

“Saya rasa ini tanggungjawab saya sebagai rakyat Malaysia.

“Walaupun saya tidak sihat dan uzur, saya mahu memastikan sistem demokrasi disuburkan dengan tanggungjawab mengundi pada hari ini,” ujar beliau ringkas.

Dalam pada itu tinjauan Negeri Kita di beberapa pusat mengundi sekitar DUN Ampangan, DUN Paroi, DUN Rahang, DUN Lobak dan DUN Bukit Kepayang sehingga pukul 1.30 tengahari tadi mendapati kehadiran pengundi secara fizikal agak rendah berbanding semasa Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN-15) pada tahun 2023.

Hujan secara tiba-tiba sekitar pukul 1.00 tengahari di Seremban juga mungkin mempengaruhi peratusan keluar mengundi.

Ada kemungkinan peratusan pengundi akan meningkat selepas pukul 2.00 petang memandangkan banyak syarikat swasta beroperasi setengah hari pada hari Sabtu dan pekerja berpotensi akan keluar mengundi selepas balik kerja.

Show More

Related Articles

Back to top button